Kemasukan pelancong bukti kekuatan jenama Negeri sebagai destinasi pilihan antarabangsa

Admin
tkm0513m

GEORGE TOWN: Kemasukan pelancong ke Pulau Pinang bagi suku pertama tahun ini menunjukkan perkembangan positif meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di Asia Barat.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, terdapat peningkatan sebanyak 10 peratus kemasukan pelancong direkodkan menerusi pintu masuk ke negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada penggal pertama tahun ini yang bermula pada Januari hingga Mac lalu.

“Bagi penggal pertama tahun ini sahaja, jumlah keseluruhan pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mencecah 2.19 juta penumpang berbanding 1.99 juta penumpang bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus.

“Malah, prestasi positif ini berjaya dicapai walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di Asia Barat yang tercetus pada 28 Februari lalu, yang turut memberi kesan kepada industri penerbangan dan pelancongan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran berkenaan, Pulau Pinang masih mampu mencatatkan pertumbuhan dalam jumlah pergerakan penumpang bagi suku pertama tahun ini.

“Ini membuktikan daya tahan industri pelancongan negeri, kekuatan jenama Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan antarabangsa serta keberkesanan usaha promosi dan pengukuhan jaringan penerbangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bersama rakan strategik industri.

“Malah dalam masa sama juga, rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang sudah berkembang dengan amat pesat dalam tiga tahun kebelakangan ini dan kini, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mempunyai sambungan terus ke 22 destinasi antarabangsa iaitu tambahan 10 destinasi merangkumi Xiamen, Shanghai, Shenzhen, Chengdu, Qingdao, Chongqing, Kunming, Chennai, Doha dan Yangon,” jelasnya.

Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong menjelaskan bahawa perkembangan ini sangat memberangsangkan memandangkan Pulau Pinang
hanya mempunyai sambungan penerbangan terus ke 12 destinasi antarabangsa sahaja ketika beliau baharu memegang portfolio pelancongan negeri.

“Ketika saya menyandang jawatan Exco Pelancongan pada Ogos 2023, Pulau Pinang hanya mempunyai sambungan penerbangan terus ke 12 destinasi antarabangsa iaitu Bangkok, Hong Kong, Medan, Singapura, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Phuket, Guangzhou, Taipei, Don Mueang dan Ho Chi Minh City.

“Ini bermakna, jumlah destinasi antarabangsa yang mempunyai penerbangan terus ke Pulau Pinang sudah meningkat hampir dua kali ganda berbanding 2023, dan pencapaian ini membuktikan kerja gigih yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri serta keyakinan syarikat penerbangan antarabangsa terhadap potensi Pulau Pinang sebagai hab pelancongan, perniagaan, perubatan dan ekonomi kreatif serantau,” ujarnya.

Hon Wai turut menjelaskan bahawa pembukaan laluan baharu ke negeri ini pada tahun ini turut menyaksikan beberapa perkembangan penting yang terus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang di peta penerbangan antarabangsa.

“Antaranya, pembukaan laluan Shanghai–Pulau Pinang oleh Spring Airlines pada 30 Januari lalu, Phuket–Pulau Pinang oleh AirAsia pada 13 Mac lalu diikuti laluan Senai–Pulau Pinang oleh Batik Air pada 18 Mac lalu.

“Selain itu, turut dibuka laluan baharu dari Qingdao–Pulau Pinang oleh Qingdao Airlines pada 31 Mac lalu serta Chongqing–Pulau Pinang oleh Chongqing Airlines pada 8 April lalu.

“Trend ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan pelancong, selaras dengan usaha pengukuhan sambungan penerbangan serta promosi agresif di pasaran utama,” katanya.

Beliau kemudian merumuskan bahawa perkembangan ini memberi impak ekonomi, peningkatan jumlah pelancong yang turut menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta peruncitan.

“Malah, ia turut merangsang perbelanjaan pelancong dan menjana peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Prestasi awal tahun ini memberi petunjuk yang memberangsangkan dan Kerajaan Negeri optimis momentum ini akan terus diperkukuh sepanjang tahun ini,” jelasnya.

Oleh : MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar : MOHAMMAD IQBAL HAMDAN