ZPP diaudit dengan ketat – YDP MAINPP

Admin

PANTAI JEREJAK – Orang ramai khususnya masyarakat Islam di negeri ini tidak perlu bimbang terhadap pungutan zakat dibuat Lembaga Zakat Pulau Pinang (ZPP) berikutan isu yang terpalit melibatkan badan tersebut baru-baru ini.

Saranan tersebut disuarakan Yang di-Pertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man ketika berucap dalam Program Sumbangan Nur Ramadan 2017/ 1438 Hijrah (kawasan pulau) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Halim Hussain; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Sazali Hussein, Ahli-ahli Majlis bagi MAINPP dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah ZPP.

Menurut Mohd. Salleh, beliau yakin isu pada awal Mei lalu hanya melibatkan individu tanda menjejaskan wang zakat.

“Ingin saya yakinkan orang ramai bahawa ZPP diaudit dengan ketat dalam mengetahui pengaliran wang, pembayaran kepada bantuan asnaf dan hal-hal berkaitan sebagaimana disyaratkan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir. Mohd. Salleh dalam pada itu memberitahu, kutipan ZPP pada tahun lalu adalah berjumlah RM93 juta dan bagi 2017 (sehingga April), RM30 juta.