ADUN sumbang mesin pencetak 3D galak pembudayaan STEM

DATUK KERAMAT – Pelajar Sekolah Menengah Han Chiang kini berpeluang menghasilkan objek cetakan 3 dimensi (3D) rekaan mereka sendiri dengan menggunakan inovasi mesin pencetak 3D terkini hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) baru-baru ini.

ADUNnya, Jagdeep Singh Deo ketika mengadakan lawatan ke sekolah terbabit berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai galakan ke arah pembudayaan inovasi dalam kalangan pelajar sejajar dengan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang dilaungkan Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) sememangnya menggalakkan para pelajar terlibat dalam STEM, dan ia akan menjadi pengalaman baharu buat mereka.

“Pulau Pinang sedang bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0, jadi keperluan melengkapkan pelajar dengan kemahiran pengkomputeran adalah suatu keperluan,” katanya yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengetua Sekolah Menengah Han Chiang, Kung Bee Lee dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ngoo Seong Boon.

Jagdeep memperuntukkan sejumlah RM4,000 bagi membekalkan seunit pencetak 3D kepada sekolah terbabit.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20,000 bagi meringankan beban pentadbiran sekolah selepas kejadian banjir besar yang berlaku 4 dan 5 November tahun lalu.