Aspek keselamatan tapak projek wajar dipertingkat demi kepentingan umum

PANTAI JEREJAK – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menggesa pihak kontraktor yang terlibat dalam projek naik taraf saluran paip pembetungan dekat Taman Sri Nibong di sini supaya meningkatkan aspek-aspek keselamatan kawasan sekitar.

Katanya, ianya penting dalam menjaga keselamatan penduduk dan orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.

“Saya mahukan aspek keselamatan pengguna laluan ini diletakkan sebagai nombor satu. Pencahayaan dan papan tanda perlu ditambah untuk elakkan kekeliruan dan kemalangan yang tak diingini.

“Kita perlu ambil iktibar daripada kejadian tahun lepas dekat Relau yang mana apabila berlaku banjir, air naik sehingga ada orang awam yang menjadi mangsa korban,” tegas Mohd. Rashid ketika melakukan lawatan tapak kerjakerja naik taraf di Taman Sri Nibong di sini 18 Januari lalu.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Shahrudin Mohamed Sharif dan wakil syarikat kontraktor berkaitan.

Mohd. Rashid dalam pada itu menasihatkan penduduk dan pengguna supaya dapat bersabar ketika kerja-kerja naik taraf dilakukan memandangkan ianya adalah untuk kepentingan masa hadapan.

“Jika naik taraf ini tidak dilakukan, saluran najis di rumah akan tersekat, masuk semula dalam tandas lantas boleh jejaskan kebersihan dan kesihatan.

“Saya tidak mahu jadi seperti di Taman Sunway Tunas sebelum ini yang mana hampir keseluruhan taman tersebut terjejas akibat ada saluran tersekat sebelum ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Dalam pada itu, wakil kontraktor memaklumkan antara skop projek yang sedang dinaik taraf adalah rumah pam berdekatan Jalan Aziz Ibrahim daripada 40,000 population equivalent (p.e) kepada 70,000 p.e.

“Di Jalan Bukit Kecil (Taman Sri Nibong) pula, kerja-kerja penukaran paip sedang dilakukan iaitu dari 450 milimeter (mm) kepada 900 mm melibatkan pengorekan tujuh hingga lapan meter (m) dalam.

“Kita jangkakan kerja-kerja di Jalan Sultan Azlan Shah akan siap pada April depan di Jalan Bukit Kecil (Mei 2018)… manakala bagi seluruh kawasan di Parlimen Bayan Baru, kita jangka siap sepenuhnya pada bulan Oktober,’’ jelasnya.

Mengulas tentang pemajuan projek , wakil berkaitan memberitahu bahawa kini pihaknya mengalami kelewatan sebanyak dua peratus akibat pengalihan kabel-kabel utiliti.