Kerisik Mak Su Zan dibuat fresh, beraroma

NORIZAN Hashim atau Mak Su Zan.
NORIZAN Hashim atau Mak Su Zan.

 

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD 

 

KEPERCAYAAN dan peluang yang diberikan oleh seorang kenalan merupakan asas kepada kejayaan perniagaan Abdul Manap Che Aide dan isterinya, Norizan Hashim, 46.

 

Kira-kira setahun bergelar sebagai pembekal isi kelapa, Abdul Manap dan Norizan yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Su dan Mak Su Zan menganggap ia sebagai rezeki daripada Allah.

 

Ketika Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara tiba di kediaman pasangan yang terletak berhadapan dengan landasan keretapi di Kampung Kubang Menerong, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), hanya Mak Su (Zan) yang kelihatan, Pak Su Zan telah keluar menghantar kelapa, jawab Norizan kepada kami.

 

Ditemani beberapa saudara-mara dan anak bongsunya, Abdul Muiz, 9, Mak Su Zan begitu tidak lokek berkongsi pengalaman suka-duka beliau dalam bidang berkenaan.

 

Tanpa sebarang latar belakang dalam bidang perniagaan, Mak Su (Zan) menyatakan bahawa ketika menerima pelawaan daripada seorang rakan untuk menceburi bidang berkaitan, suaminya yang ketika itu bekerja kilang menyatakan bahawa beliau ‘tidak pandai’.

 

“Lantas, bagi menyakinkan Pak Su (Zan), dia (rakan) kata kerja ni tidak perlu pandai, hanya kena rajin sebab business ni tiap-tiap hari orang makan.

 

“Selepas kami suami isteri berbincang, kami pun cuba dan alhamdullilah, kini, kami merupakan pembekal utama isi kelapa kepada peniaga-peniaga santan di pasar Sungai Petani, Kedah, Kepala Batas (Seberang Perai Utara, SPU), Butterworth, Bagan Ajam dan Penanti (Seberang Perai Tengah, SPT),” jelasnya.

KELAPA-kelapa dijemur sehingga garing sebelum digoreng.
KELAPA-kelapa dijemur sehingga garing sebelum digoreng.

Kini, menurut Mak Su Zan, setiap hari pada hari biasa, beliau perlu memenuhi purata permintaan sebanyak 500 kilogram (kg) isi kelapa dan ia mampu mencecah 700kg paada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

 

Malah, pada musim perayaan, memang tidak menang tangan memenuhi permintaan yang datang berganda.

 

 

Istimewanya, menurut Mak Su Zan, isi kelapa yang dibekalkan beliau adalah yang betul-betul berkualiti. Malah, selepas kelapa dikupas dan dibuang tempurung, ia akan melalui proses khas iaitu ‘mencium’ bau kelapa.

 

“Semua kelapa yang bakal dibekalkan akan dicium baunya bagi memastikan ia adalah betul-betul elok sebelum dihantar kepada pelanggan.

 

“Kalau tak elok, kita akan letak asing untuk dibuat bahan lain,” jelas beliau yang dikurniakan empat cahaya mata itu.

KELAPA yang dijemur kemudian dimasukkan ke dalam kuali untuk digoreng.
KELAPA yang dijemur kemudian dimasukkan ke dalam kuali untuk digoreng.

Apabila Mak Su Zan menyatakan bahawa kelapa tidak elok diasingkan untuk memproses bahan-bahan lain, di kala itu terdetik pada penulis untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

 

Tanpa berlengah, Mak Su Zan terus membawa kami ke sebuah bengkel yang terletak bersebelahan dengan lokasi memproses kelapa.

 

 

 

Beliau membuka sebuah bekas makanan dan mengacau ‘bahan’ di dalamnya. Sangat harum dan manis bau ia dan apabila penulis menjenguk, dengan pantas, Mak Su Zan memberitahu ia adalah kerisik.

 

Tidak dinafikan, aroma kerisik Mak Su Zan adalah sukar dijelaskan dengan kata-kata!

 

Mak Su (Zan) memberitahu, isi-isi kelapa yang berbau masam dan tidak ‘lulus’ dalam proses ‘mencium’ akan dicuci semula sebelum dikisar dan kemudian dijemur.

 

“Ia perlu dijemur sehingga betul-betul garing dan sekiranya hujan, ia dikira rosak dan tiada pilihan lain selain dibuang. Selepas dijemur, ia kemudian digoreng sehingga berwarna keperang-perangan sebelum dikisar.

 

“Mak Su (Zan) belajar buat kerisik daripada mak, buat untuk keluarga makan. Bila kuantiti bertambah kini, Mak Su (Zan) pandai-pandai agak bahan serta tempoh masa yang diperlukan,” ujar beliau.

KERISIK yang sedia untuk dipasarkan.
KERISIK yang sedia untuk dipasarkan.

“Keunikan kerisik Mak Su (Zan) adalah ia tiada bahan campuran lain selain kelapa. Malah, ia juga dibuat secara fresh dan tiada minyak lain yang ditambah selain minyak yang keluar daripada kelapa itu sendiri.

 

“Ada kerisik yang Mak Su (Zan) beli dari kedai, ia tidak wangi, malah, ada yang rasanya agak pelik sebab pengusaha letak minyak ‘tambahan’ masa proses menggoreng.

 

“Bagi mereka yang menggunakan hampas kelapa, kerisik akan menjadi lebih hitam dan jika guna kelapa tidak fresh, ia akan menyebabkan rasanya tidak sedap,” ulas beliau.

 

Mak Su Zan yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu tidak menafikan bahawa cabaran utama dalam bidang perniagaan adalah kepelbagaian ragam pelanggan dan sifat dengki sehingga mencetuskan fitnah dan persaingan tidak sihat.

 

Customer ada macam-macam ragam, kalau tak tahan, memang tak tahan lah.

 

“Pelanggan pernah hantar balik 400kg kelapa sebab katanya tak elok. Kami rugi sampai RM4,000 hingga RM5,000.

 

“Masa itu, memang sedih dan Pak Su Zan sudah putus asa, kata tak nak buat (tidak ingin teruskan). Namun, rakan tu cakap kena sabar, inilah cabaran perniagaan, pujuk dia.

 

“Bagi kerisik pula, ada yang fitnah kata kami guna hampas kelapa.

 

“Apapun, berpegang kepada prinsip bahawa cabaran dalam perniagaan tetap akan dihadapi, alhamdulillah, atas berkat Allah, kami mampu bertahan sehingga kini,” kata beliau.

 

Bagi perancangan masa depan, Mak Su Zan menyatakan bahawa beliau ingin memiliki premisnya sendiri untuk memperbesarkan perusahaan kerisik beliau. Pada masa sama, ingin menambaik pembungkusan sedia ada.

 

Ketika ditanya minat anak-anaknya untuk meneruskan bidang perniagaan berkaitan, Mak Su Zan menyatakan bahawa hanya Abdul Muiz yang mempunyai minat tersebut.

 

“Mak Su (Zan) selalu bawa dia untuk kutip bil dan memang tauke-tauke kedai pun sudah gelar di ‘tauke kecik’,” jelasnya sambil diintai Abdul Muiz dari celah pintu.

 

 

INFO :

Visda Mutiara Trading

1955, Kubang Menerong,

13300 Tasek Gelugor, SPU.

017 – 447 3644 (Abdul Manap Che Aide)

017 – 480 5924 (Norizan Hashim)

FB: visda mutiara trading

 

 document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);