Kerjasama & ubah pemikiran jamin keselamatan kanak-kanak

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Dalam memastikan akses saksama untuk penjagaan kanak-kanak, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) mengiktiraf keperluan untuk melindungi hak golongan terbabit sebagaimana termaktub dalam Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan Hak Kanak-kanak (UNICEF).

Pelaksanaan tersebut adalah melalui Dasar Penjagaan Kanak-kanak Negeri Pulau Pinang yang mana membolehkan golongan wanita khususnya ibu-ibu berkerjaya mengimbangi kehidupan masing-masing antara pekerjaan dan keluarga.

Menurut Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, dasar tersebut juga mampu memenuhi
keperluan penjagaan kanak-kanak secara berkesan dengan mengambil kira keadaan semasa yang relevan.

“Satu rangka kerja institusi juga akan dibentuk supaya dapat memastikan pencapaian dasar ini melalui pelaksanaan Pelan Tindakan secara berkesan.

“Malah, Kerajaan Negeri juga mengesyorkan supaya pusat-pusat penjagaan kanak-kanak ditambah sama ada di tempat kerja, dalam k awas an k omuniti dan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak swasta sedia ada,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Tan Pek Leng.

Jelas beliau, melalui perhatian dan kerjasama semua pihak, kes-kes penderaan mahupun kanak-kanak terabai dapat dibendung.

Dalam pada itu, Chong Eng turut meluahkan rasa simpati susulan kes pembunuhan kejam dua kanak-kanak lelaki di Sungai Buloh, Selangor pada 25 Februari lalu.

Beliau memberitahu, kes seumpama itu perlu diberi perhatian sepatutnya terutama dalam aspek perlindungan kanak-kanak, penyediaan latihan khusus untuk pengasuh dan penambahan bilangan pegawai kebajikan sosial dalam usaha membendung keselamatan kanak-kanak yang kian terancam.

“Sungguhpun kita mempunyai Akta Kanak-kanak 2001, namun, kes-kes melibatkan penderaan kanak-kanak masih juga berlaku.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak supaya berkerjasama dan mengubah pemikiran bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin dan tidak hanya mengharapkan pekerja-pekerja domestik untuk menjaga anak-anak kita,” tegasnya.