KN sasar laksana dasar asing sisa pepejal dari sumber tahun depan

BAGAN DALAM – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan pelaksanaan dasar pengasingan sisa pepejal dari sumber mulai tahun depan.

“Kitar semula dari sumber adalah cara yang jauh lebih baik daripada kitar semula diproses akhir.

“Malah, Kerajaan Negeri kini sedang membuat persediaan untuk dasar pemisahan daripada sumber yang disasarkan untuk pelaksanaan tahun depan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Padang Kota di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran bagi MPSP) turut hadir pada Majlis Pemberian Insentif Program Organik CCAC & Perasmian Pusat Pengumpulan Semula Park View berkaitan.

Pada majlis tersebut, Kon Yeow turut merakamkan kepada semua pihak, khususnya MPSP serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana kadar kitar semula di negeri ini meningkatkan sehingga 32 peratus, dan angka itu merupakan kadar tertinggi di Malaysia.

“Seperti di bahagian pulau, sehingga bulan Julai 2015, terdapat 14 lokasi pusat pemprosesan sisa makanan di kawasan pentadbiran MBPP,” jelas Kon Yeow.

Sebelum itu, Maimunah melahirkan rasa bangga kerana MPSP dipilih oleh Climate and Clean Coalition dan United Nations Environmental Programme (UNEP) bagi program pengurangan short live air pollutants, iaitu pengurangan karbon dioksida, metana dan karbon hitam.

“Perbadanan Pengurusan (MC) Park View, Taman Pandan dan Pangsa Tanjung Indah masing-masing menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam program penjagaan alam sekitar.

“Oleh itu, CCCAC/UNEP telah memilih ketiga-tiga perbadanan pengurusan bangunan tinggi ini bagi melaksanakan kajian pengurusan sisa organik dapur,” jelas Maimunah.