‘Ladang Mini Strawberi’ di Sungai Dua, syor projek perintis dipuji

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB PERKEMBANGAN dalam bidang bioteknologi pertanian kini membolehkan anak pokok strawberi yang lazim hidup di kawasan tanah tinggi bersuhu sejuk, boleh diladangkan di lokasi tanah rendah, termasuk sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua.

Mengulas lanjut, mantan Pegawai Penyelaras KADUN (PKK) Sungai Dua, Yusri Isahak, 48, mencadangkan Kerajaan Negeri pada masa depan mempertimbang pelaksanaan projek perintis ‘Ladang Mini Strawberi’.

“Di kawasan tanah rendah seperti Beris (dekat Sik, Kedah) telah ada ladang mini strawberi, kini bukan sahaja berbuah, bahkan menjadi salah satu kawasan untuk aktiviti eko-pelancongan.

“Penganjuran program ini bertujuan mendidik komuniti, khususnya golongan wanita untuk laksana projek perintis berkaitan di halaman rumah masing-masing, supaya kawasan ini boleh dibangunkan sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan negeri pada masa depan,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Taman Kehijauan & Projek Perintis Tanam Strawberi Dalam Halaman Rumah di Dewan Permatang Tok Jaya di sini baru-baru ini.

Pada kesempatan sama, Yusri turut merakamkan penghargaan kepada mantan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon kerana menyokong penganjuran projek perintis tersebut.

Difahamkan, sejumlah 60 anak pokok strawberi telah diagihkan kepada kira-kira 30 pelatih yang menyertai klinik peladangan mini pokok strawberi berkenaan.

“Dalam fasa satu ini, sejumlah 60 pokok telah diberikan kepada pelatih, di bawah bimbingan seorang usahawan yang memang ada ladang mini strawberi di Teluk Ipil (dekat Nibong Tebal) iaitu Tuan Abdul Halim Mohammad (berusia 57).

“Selepas ini, baucar untuk mendapat baki 40 pokok lagi akan kita agih kepada pelatih dalam projek perintis ini,” jelasnya.

Tambah Yusri, Pusat Khidmat PPK Sungai Dua pada masa hadapan berhasrat melaksanakan beberapa lagi Program Keusahawanan Komuniti seperti klinik tanam orkid dan peladangan madu kelulut, demi memperkuasakan daya keusahawanan tempatan.

Ketika merasmikan majlis itu, Mohd. Rashid yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini sangat cakna dengan perjuangan usahawan tani termasuk daripada kalangan wanita.

Sebagai bukti, menurutnya, sehingga kini Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) telahpun meluluskan skim pinjaman mikro kredit tanpa riba kepada 91 penerima termasuk usahawan tani wanita muda.

“Tabung Usahawan Muda dahulu tawar maksimum pinjaman RM5,000 sahaja kepada usahawan di bawah umur 40 tahun.

“Kerajaan Negeri hari ini begitu cakna usahawan dalam bidang industri asas tani, kita buat penjenamaan semula dari TUTM kepada ‘Tabung Usahawan Tani’ untuk usahawan sehingga usia 60 tahun layak memohon pinjaman mikro kredit ini, bagi yang berusia di bawah 40 tahun pula layak pinjam maksimum RM6,000,” jelas Mohd. Rashid.

Beliau dalam pada itu turut memuji cadangan Yusri untuk membangunkan potensi komuniti setempat dengan projek perintis peladangan mini strawberi.

“Semua kejayaan yang ada hari ini mesti bermula dengan idea, kajian lanjut dan projek perintis juga, seperti yang dicadangkan oleh Encik Yusri ini.

“Kalau berjaya, sektor ekopelancongan ini tentu akan menarik pengunjung, tapi dengan syarat komuniti di sini ambil bahagian, selepas program ini saya lulus peruntukannya sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan pada 10 April 2018,” jelasnya.

Pegawai Penerangan Bahagian Kerajaan Negeri Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul; Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Fadzil Abdullah serta Datuk Jasmin Mohamed (mantan Penyelaras Kawasan Parlimen Tasek Gelugor) merupakan antara pemimpin Pakatan Harapan yang turut berucap pada majlis rasmi tersebut.


Kategori: Bahasa Malaysia, Semasa

Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives