Masyarakat harmoni, progresif mampu jadikan Pulau Pinang bersifat antarabangsa

Admin

GEORGE TOWN – Pembinaan Pusat Harmoni adalah penting bagi menunjukkan sikap toleransi dalam kalangan rakyat serta keharmonian yang wujud di negeri ini, kata mantan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, hanya masyarakat yang harmoni dan progresif sahaja mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bersifat antarabangsa.

“Di mana lagi di dunia ini kita boleh temui Jalan Harmoni, yang mana empat bangunan agama atau kuil utama hanya beberapa meter antara satu sama lain di sepanjang jalan sepanjang 800 meter (m).

“Jarak dekat antara tempat-tempat ibadat ini menggambarkan pelbagai etnik berbilang budaya dan agama di negeri ini yang hidup bersama dalam suasana harmoni,” katanya ketika merasmikan pelancaran projek pembinaan Pusat Harmoni di sini baru-baru ini.

Difahamkan rumah ibadat yang dibina di sepanjang Jalan Harmoni antaranya ialah Kuil Dewi Mercy (Cina), Masjid Kapitan Keling (Islam), Kuil Sri Mariamman, Jalan Mengkuang (Hindu) dan Gereja St. George (Kristian).

Turut berucap, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo. Hadir sama, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (mantan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna); Lim Hock Seng (mantan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan); Law Heng Kiang (mantan Exco Pembangunan Pelancongan); Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar); Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dan Ahli-ahli Majlis bagi MBPP.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, nama Jalan Harmoni adalah amat sesuai kerana ia bukan sahaja menjadi laluan utama di George Town, malah juga lokasi untuk masyarakat berkumpul, bekerja, bermain serta berdoa dengan aman. “Pusat Harmoni akan menjadi tempat untuk kegiatan agama dan acara-acara masyarakat bukan Islam.

Acara-acara ini boleh berupa senaman yoga, sesi meditasi, seni serta muzik, ceramah agama, seminar, konvensyen dan pertemuan. “Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM3 juta untuk membaik pulih dan memperluaskan bangunan ini dan ia dijangka akan mula dibuka pada Februari 2019.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjanji untuk memastikan kebebasan beragama dapat ditegakkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan kami telah membuktikannya melalui komitmen kami sejak 2008,” jelasnya.

Empat fungsi utama Pusat Harmoni tersebut adalah sebagai tempat untuk pembelajaran, pentadbiran, majlis dan mesyuarat serta seminar.

Aktiviti-aktiviti tersebut akan diadakan di dalam rumah banglo seluas 4,300 kaki persegi yang terdiri daripada ruang pejabat, ruangan majlis, ruang makan dan bilik persidangan. Sebuah dewan komuniti baru berukuran 2,800 kaki persegi juga akan dibina bersebelahan banglo untuk menampung program yang lebih besar.