Prestasi pelaburan negeri lebih baik berbanding 2003-2007

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNinvestPenang  (iP) optimis bahawa Pulau Pinang  masih kekal sebagai lokasi pilihan pelabur walaupun terdapat penurunan dalam jumlah pelaburan sebagaimana diumumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Malaysia Investment Development Authority, MIDA).

Kenyataan tersebut dinyatakan Pengarah iP, Datuk Lee Kah Choon pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Katanya, pada tahun 2011, jumlah pelaburan Pulau Pinang adalah sebanyak RM9.1 bilion dan jumlah tersebut turun kepada RM2.5 bilion tahun lalu (2012).

“Kelembapan ekonomi global dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta angka pelaburan yang dikeluarkan MIDA adalah tidak termasuk pelaburan RM2.9 bilion oleh Pihak Berkuasa Pelaburan Koridor Utara (Northern Corridor Investment Authority, NCIA).

“Jumlah pelaburan sebenar bagi Pulau Pinang adalah RM5.4 bilion sekiranya dimasukkan jumlah pelaburan NCIA bernilai RM2.9 bilion dalam statistik dikeluarkan MIDA,’’ katanya di sini.

Menurut Kah Choon, iP tetap yakin bahawa Pulau Pinang adalah destinasi pilihan utama pelabur apabila berjaya menarik Bose (dari Amerika Syarikat) untuk menubuhkan kilang pertama mereka di Asia di sini.

“Sungguhpun ada pihak yang tidak bertanggungjawab mendakwa bahawa iP hanya memberi tumpuan kepada negara seperti Taiwan, Australia dan China berbanding negara-negara Eropah, secara perspektifnya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negara seperti Belanda dan Jerman adalah rendah,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Belanda hanya mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK sebanyak -0.9 peratus, Jerman (0.1 peratus), Jepun (0.5 peratus) dan Amerika Syarikat (1.6 peratus) berbanding Australia (3.1 peratus), Taiwan (3.72 peratus) dan China (7.9 peratus).

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai pandangan jauh yang realistik untuk sasaran pelaburan jangka panjang.

“Penekanan dalam teknologi bernilai tinggi, intensif pengetahuan serta pembangunan dan penyelidikan (R&D) menjadi nilai tambah buat Pulau Pinang menarik minat para pelabur,” tambah Kah Choon yang juga Penasihat Pelaburan kepada Guan Eng.

Tambah beliau, pada 2012, jumlah pelaburan terbanyak adalah dalam sektor bahan kimia (minyak dan gas) dan kelengkapan pengangkutan (automatif) iaitu 34.7  peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia.

“Ini berbeza berbanding tahun 2011 di mana sektor E&E adalah penyumbang utama pelaburan negara iaitu 35.8 peratus.

“Fakta-fakta ini cukup menjelaskan penurunan jumlah pelaburan di Pulau Pinang memandangkan kekuatan negeri adalah dalam sektor E&E,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa jumlah pelaburan di Pulau Pinang pada tahun 1990-1995 adalah yang paling teruk dalam sejarah negeri apabila mencatat RM516.8 juta (1993) dan RM934.5 juta (1994), iaitu berada di bawah nilai RM2.5 bilion.

“Jika kita membandingkan jumlah pelaburan sejak lima tahun lalu iaitu dari 2008 sehingga kini, jumlahnya RM36.1 bilion adalah lebih baik berbanding tahun 2003-2007 iaitu RM18.7 bilion sahaja.

“Malah buat julung kalinya dalam sejarah, Pulau Pinang menjadi juara pelaburan pada tahun 2010 dan mengulanginya lagi pada tahun 2011,’’ ujarnya.