Pasaran global faktor penarikan BOSCH

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARU – Penarikan pelaburan bernilai RM2.2 bilion di Pulau Pinang oleh syarikat konglomerat Robert Bosch Sdn. Bhd. (BOSCH) di negeri ini baru-baru ini adalah disebabkan kesan pasaran dunia yang teruk.

Pengarah investPenang (iP), Datuk Lee Kah Choon berkata, BOSCH memutuskan bahawa pihaknya gagal bersaing dalam pasaran dunia dan memutuskan untuk menghentikan operasi panel solar yang sedang dalam pembinaan kini di sini.

“Pasaran dunia bagi panel solar menjadi teruk ekoran potensi tenaga solar yang mempunyai kemampuan agak terhad berbanding tenaga boleh diperbaharui lain seperti elektrik. Kegawatan industri ini berlaku di peringkat global dan bukan hanya di Pulau Pinang.

“Selain itu, mereka (BOSCH) juga terpaksa menanggung kerugian berjumlah 1 billion Euro akibat projek solar ini di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Kah Choon berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak-pihak yang menyalahkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak pandai ‘menjaga’ pelabur ekoran tindakan penarikan pelaburan berjumlah RM2.2 bilion di negeri ini.

Mengulas lanjut, Kah Choon memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bersama iP, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sentiasa memantau situasi tertentu yang memungkinkan BOSCH meneruskan pengeluaran lain di Zon Perindustrian Kecil Sederhana Batu Kawan, Seberang Perai Tengah (SPT).

“Kita sedaya-upaya akan tetap cuba membantu mereka.

“Kerajaan kita (Pulau Pinang) bukanlah satu kerajaan yang kejam. Kita mungkin boleh terokai perusahaan lain yang boleh mendatangkan manfaat pada mereka kerana mengikut rekod, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang memberi perhatian serius dalam industri kecil sederhana ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan PR berjaya menjadi jaguh pelaburan dan menghasilkan nilai pelaburan dua kali ganda dari kerajaan lama menerusi ‘track record’ pada tahun 2010 dan 2011.