GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia Pulau Pinang), Dato’ TPr Gs. Rozita Hamit sepanjang lima tahun berkhidmat di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri amat menghargai kepimpinan Dato’ Rozita kerana dalam tempoh lima tahun ini, Pulau Pinang boleh dikatakan berjaya menjadi hab ekonomi yang penting.
“Transformasi landskap fizikal memerlukan satu jabatan perancangan bandar dan desa yang efisien, rancak dan dapat menyahut cabaran pembangunan, maka saya percaya dalam tempoh ini, isu-isu seperti rancangan tempatan sudah berjaya diusahakan, yang mana rancangan khas untuk Silicon Island (Pulau Silikon) pun sedang dilaksanakan.
“Pengurusan mesyuarat perancangan negeri dengan Exco juga nampak lebih efisien dari segi membuat keputusan terhadap permohonan-permohonan perlu,” ujarnya ketika bersama-sama meraikan majlis perpisahan yang diadakan khas oleh jabatan berkaitan di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangsn Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pedagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik dan Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim.
Kon Yeow dalam pada itu berharap dengan pengalaman Rozita di negeri ini, beliau seterusnya dapat memainkan peranan penting apabila menyambung perkhidmatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah PLANMalaysia di Putrajaya nanti.
Sementara itu, Rozita turut menzahirkan perasaan berbesar hati diberi peluang berkhidmat sebagai Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang.
“Saya sangat berbesar hati, dan sangat gembira berkhidmat di Pulau Pinang dengan pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri yang sangat cekap serta sangat menyokong kepada dasar-dasar perancangan kita, terima kasih sekali lagi,” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN