RM1. 5 juta lulus tangani banjir kilat Taman Nibong Tebal – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & LAW SUUN TING

SESI ke-tiga Jelajah Sedia Mendengar Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow adalah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi, selepas ke Bagan Dalam dan Sungai Pinang sebelum ini.

Di sini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee membawa rombongan Kon Yeow melawat lapan kawasan bagi mendengar sendiri maklum balas lanjut, kritikan dan syor daripada pemimpin penduduk setempat. Turut serta, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Heng Yeh Shiuan dan Jason H’ng Mooi Lye serta pegawainya; Jurutera Jalan Daerah bagi Jabatan Kerja Raya (JKR) K. Jayanthi serta kakitangan Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Sedia Mendengar ini diadakan untuk kita melihat dan mendengar sendiri kritikan serta cadangan daripada penduduk, mendapatkan maklum balas daripada jabatanjabatan kerajaan yang berkaitan.

“Di Taman Nibong Tebal, bukan kali pertama kita melawat, tetapi kita menangguhkan projek sebelum ini kerana JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) mencadangkan pemasangan pencakar sampah automatik, bukan manual di pintu air sungai di sini.

“Keadaan penduduk bertambah baik, tapi masih belum menyelesaikan masalah banjir secara keseluruhannya.

“Pada Jun lalu, Jawatankuasa Tetap Tebatan Banjir Negeri telah meluluskan permohonan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) dengan peruntukan RM1.5 juta untuk projek menaiktaraf sistem perparitan di Taman Nibong Tebal,” jelas Kon Yeow.

Di Pasar Awam Taman Berjaya, golongan penjaja kecil mengadu isu mereka terdedah tempias hujan kerana tiada bumbung pengadang di sini, isu parkir tidak cukup serta jalan rosak.

Kon Yeow memberitahu, MPSP akan mengkaji syor-syor itu daripada aspek kejuruteraan serta kemampuan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Di Pekan Jawi, Jayanthi memberitahu Kon Yeow dan Lip Chee bahawa bahawa JKR akan melebarkan jalan masuk utama kira-kira 300 meter di sini.

Penduduk Ladang Kalidonia pula menuntut Kon Yeow memberitahu status terkini cadangan penyusunan semula penempatan penduduk di sini.

Kon Yeow memberitahu, pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berhubung hasrat membina rumah mampu milik (RMM) di atas tanah ladang tersebut.

Nelayan Jeti Changkat pula mengadu bahawa sudah masuk empat tahun mereka tidak mendapat peruntukan berwajib daripada agensi persekutuan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Mereka menyatakan bahawa Kerajaan Negeri wajar membangunkan kemudahan asas seperti projek membina ban dan pemasangan bekalan elektrik ke jeti tersebut.

Menurut mereka, Jeti Changkat mempunyai potensi untuk sektor pelancongan perikanan kerana di sini merupakan tempat pembiakan udang.

Di Taman Desa Jawi dan Flat Taman Jawi, Kon Yeow mengarahkan MPSP untuk berunding dengan penduduk berhubung struktur binaan tanpa izin di atas sebidang tanah lapang di sini.

Menurutnya, MPSP bercadang untuk menaiktaraf tanah lapang itu, gelanggang bola keranjang dan taman permainan kanan – kanak serta sistem perparitan setempat di kawasan risiko banjir tersebut.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);