Rumah terbuka Aidilfitri KADUN warnai sambutan Syawal

PINANG TUNGGAL – Seperti kelazimannya, acapkali sempena sambutan Aidilfitri, pimpinan negeri sama ada di peringkat
pentadbiran mahupun masyarakat setempat pasti mengadakan majlis rumah terbuka meraikan kedatangan bulan Syawal sehingga ke penghujungnya.

Tradisi turun-temurun berkenaan pastinya disambut penuh meriah dengan budaya kunjung-mengunjung dikekalkan di mana-mana sahaja.

Namun, proses urbanisasi yang berlaku membuatkan tradisi rumah terbuka lebih menjadi pilihan kini yang mana majlis berkaitan diadakan di lokasi-lokasi terbuka seperti dewan-dewan orang ramai ataupun di hotel-hotel.

Apapun, sama ada rumah terbuka mahupun kunjungmengunjungi dari rumah ke rumah, tradisi tersebut adalah ibarat pengikat kasih bagi mengeratkan lagi ikatan silaturahim yang sedia terjalin sebelum ini.

Di PINANG TUNGGAL, nasi daging berlauk, kambing bakar, roti telur meleleh dan ais krim ‘kon kin kun’ antara 14 juadah yang dihidangkan untuk para tetamu di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal.

Juadah lain, antaranya apom balik ‘meletop’, lemang berdaging dan cendol boleh dinikmati secara layan diri.

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad berkata, seramai 1,500 tetamu hadir pada majlis keraian itu.

Antaranya Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman, Ahli-ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan pimpinan masyarakat setempat.

Turut bertandang, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Halim Hussain, Presiden Hospital D’BM, Zolkifly Md. Lazim dan Pakar Kanak-kanak Hospital KPJ, Bandar Perda, Dr. Zaidi Zakaria.

Di SUNGAI ACHEH, PPKnya, Azmi Samsudin mengadakan majlis rumah terbuka di Dewan Perda Sungai Acheh pada 9 Ogos lalu. Majlis tersebut dihadiri lebih 2,000 tetamu terdiri daripada pimpinan negeri, pimpinan tempatan dan warga Sungai Acheh.

Pelbagai juadah istimewa bercirikan kampung disajikan termasuk juadah tradisi, lemang buluh, ketupat palas, ketupat nasi dan rendang.

Di TELUK AIR TAWAR, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPK Teluk Air Tawar diadakan di Dewan Panorama, Bagan Ajam,
Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU) pada 9 Ogos lalu.

Lebih 2,000 orang hadir memeriahkan sambutan yang turut dihadiri oleh Mohd. Rashid dan isteri, Datin Norazizah Haron.

Bihun sup dan char kuetiau istimewa menjadi hidangan pilihan tetamu yang hadir.

PPKnya, Norhayati Jaafar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang setia bersama-samanya buat tahun ketiga berhubung penganjuran majlis berkenaan.

Di BERTAM pula, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkesempatan
hadir memeriahkan undangan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Parlimen Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MPSP pada 11 Ogos lalu.

PPK Bertam, Asrol Sani Abdul Razak memberitahu, sambutan rumah terbuka tersebut merupakan yang julung kali diadakan secara bersama PPK Pinang Tunggal dan Ahli-ahli Majlis MPSP.

Pelbagai juadah istimewa disajikan termasuk roti jala istimewa dan laksa ‘famous’ Pulau Pinang.

PPK Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid dan PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail turut mengadakan majlis serupa yang dihadiri oleh pemimpin tempatan di Dewan Balora Mastika, Balik Pulau.