Transformasi negeri ke arah lebih bersih, hijau, sihat & selamat

GEORGE TOWN – Pulau Pinang pernah digelar sebagai negeri ‘darul sampah’ satu ketika dahulu, namun, sejak tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri bertukar tangan pada tahun 2008, gelaran tersebut sama sekali meleset.

Buktinya di depan mata, sepanjang tempoh tersebut hingga kini, Kerajaan Negeri kini dilihat telah melakukan transformasi merangkumi aspek kebersihan, kehijauan, keselamatan dan kesihatan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan Majlis Pelancaran Perayaan Ulang Tahun Ke-lima Inisiatif Cleaner, Greener, Safer & Healthier Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif serta Ahli-ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MPSP.

Bersempena sambutan berkenaan, pelbagai agensi kerajaan serta swasta turut mengadakan pameran masing-masing.

Antaranya, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Jabatan Taman Botani, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tabung Hidupan Liar Sedunia – Malaysia (WWF Malaysia), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Penang Green Council (PGC), MBPP, MPSP dan lain-lain.

Menurut Guan Eng, dengan sokongan dan komitmen yang ditunjukkan semua pihak, beliau yakin bahawa Pulau Pinang boleh mencapai tahap kebersihan yang holistik termasuk di peringkat dunia setaraf dengan bandar raya antarabangsa menjelang tahun 2025.

“Genap lima tahun semenjak inisiatif ini dilancarkan di tepi Prangin Canal, iaitu salah sebuah kawasan yang paling kotor di George Town pada 22 Mei 2010, kini kawasan tersebut bakal dibangunkan sebagai pusat warisan yang mana akan menarik lebih ramai pengunjung serta artis-artis dari serata dunia ke sini,” ujarnya.

Tambah beliau, antara inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah seperti menggiatkan aktiviti penanaman pokok, penstrukturan semula pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung aspek pungutan sampah, penambahbaikan bidang pekerjaan 3D (dirty, dangerous & difficult) merangkumi pelaksanaan bidang-bidang tugas mencabar, penekanan kepada usaha kitar semula, menaiktaraf fasiliti awam dan rakyat, insentif kepada rakyat, penambahan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), lorong basikal dan pelbagai lagi.

Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, pendekatan Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat perlu dijadikan sebagai suatu gaya hidup rakyat negeri ini.

“Hanya dengan menjadikan slogan ini sebagai gaya hidup, kita akan mampu melihat perubahan ketara yang bakal terjadi kepada Pulau Pinang, negeri kita boleh ditransformasikan kepada sebuah negeri mampan,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.