Tindakan provokasi nodai Dataran Pidato

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN WEI

GEORGE TOWN – Tindakan provokasi sekumpulan lelaki yang bertindak ganas pada perhimpunan aman Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) Pulau Pinang di Dataran Pidato, Jalan Padang Kota Lama pada 12 Oktober lalu dibidas Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen di sini.

Antaranya, Setiausaha Politik kepada Y.A.B. Ketua Menteri yang juga ADUN Air Itam, Wong Hon Wai, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong dan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang tampil mengadakan sidang media bagi mengecam tindakan ganas tersebut.

“Kami mengecam tindakan provokasi disasarkan ke atas perhimpunan aman dianjurkan 12 Oktober (lalu) yang pada asalnya untuk meningkatkan kesedaran tentang penyalahgunaan kuasa melalui Akta Hasutan 1948.

“Insiden sedemikian bukan sahaja menodai Dataran Pidato yang mengangkat prinsip demokratik terbuka serta membolehkan sesiapa sahaja menyuarakan pendapat dan pandangan, tetapi juga (insiden) menimbulkan kekacauan sehingga menakutkan orang ramai yang berada di situ,” kata Hon Wai di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Dr. Toh Kin Woon, jurucakap Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Ong Jing Cheng dan jurucakap Aliran, Dr. Prema Devaraj. GHAH merupakan sebuah badan dianggotai 128 badan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis kemanusiaan termasuk Bersih, Suaram, Aliran, Amnesty International dan Lawyers for Liberty.

Menurut Hon Wai, beberapa individu yang mendakwa diri sebagai ‘Pro Akta Hasutan’ adalah orang sama yang pernah mencetuskan kekecohan di Perhimpunan Anti-Lynas Februari 2012 dan juga di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei lalu.

“Kumpulan terbabit sebenarnya boleh tampil menggunakan Dataran Pidato untuk menyatakan sokongan terhadap Akta Hasutan dan bukannya bertindak ganas, mengganggu, menghasut dan menakut-nakutkan orang awam dengan tindakan mereka.

“Setiap individu mempunyai hak dan kebebasan yang sama untuk menyuarakan pendapat mereka di Dataran Pidato ini tanpa rasa terancam, tetapi kumpulan terbabit memilih untuk menafikan kebebasan bersuara orang lain.

“Mereka mungkin telah berjaya ‘merampas’ Dataran Pidato, tetapi (mereka) tidak akan berjaya ‘merampas’ kebebasan rakyat untuk terus bersuara,” tegasnya yang akan membangkitkan isu tersebut dalam sidang DUN akan datang untuk menggariskan beberapa tatacara bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan beberapa anggota polis ditempatkan di Dataran Pidato berikutan beberapa insiden yang terjadi di sana.

Dalam pada itu, Jing Cheng berkata, ekoran insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jalan Patani pada 16 Oktober lalu.