ZPP fokus pembangunan modal insan demi mengangkat martabat masyarakat Islam Pulau Pinang

PEMBANGUNAN modal insan sememangnya penting dalam menangani kemiskinan dan membentuk masyarakat yang berkualiti.

Menyedari hakikat itu, Zakat Pulau Pinang (ZPP) saban tahun sentiasa meningkatkan usaha bagi melaksanakan amanah untuk memenuhi segala keperluan asnaf di negeri ini.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Agihan & Pembangunan Masyarakat ZPP, MUHAMAD KAIRI GHAZALI, kutipan zakat tahunan yang sentiasa bertambah membolehkan pusat zakat memenuhi keperluan asnaf pada jumlah yang lebih ramai dan dengan nilai bantuan lebih tinggi berbanding tahun – tahun sebelum ini.

“Sehingga tahun 2017, kutipan zakat harta meningkat sebanyak RM4.5 juta iaitu daripada RM92.1 juta kepada RM96.6 juta dengan bilangan pembayar zakat seramai 65,486 orang.

“Manakala dari segi kutipan zakat fitrah pula, sebanyak RM4.81 juta berjaya dipungut dengan bilangan pembayar seramai 687,819 orang menjadikan jumlah keseluruhan kutipan zakat adalah sebanyak RM101 juta,” katanya kepada wakil Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF pada sesi wawancara khas baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Kairi memberitahu, dari segi agihan pula, sebanyak RM99.8 juta wang pembayar zakat telah diagihkan kepada asnaf dalam pelbagai program pada tahun 2017.

Namun begitu katanya, sesetengah masyarakat mungkin tidak merasai impak agihan zakat dalam mengatasi masalah kemiskinan umat Islam kerana fokus utama ZPP adalah untuk membangunkan modal insan dan pendidikan yang mana kesannya dapat dilihat pada masa akan datang.

“Melalui pembangunan modal insan ini, kita (ZPP) mahu hapuskan pemikiran bahawa apabila sesebuah keluarga itu susah maka mereka akan susah selama-lamanya.

“Pada dasarnya, melalui pembangunan modal insan dan pendidikan inilah yang akan mengubah keadaan masyarakat terutamanya keluarga asnaf itu sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, melalui inisiatif tersebut pelbagai program telah dirangka bermula dari peringkat paling rendah (tadika) hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk latihan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM29.4 juta sehingga tahun 2017.

“Bagi peringkat tadika, terdapat 18 tadika Islam di seluruh Pulau Pinang layak menerima sumbangan ZPP yang diberi dalam bentuk geran tahunan dan diuruskan oleh bahagian Jabatan Pendidikan JAIPP (Jabatan Agama Islam Pulau Pinang).

“Di samping itu, kita juga beri sumbangan berkanun dalam bentuk pembayaran caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kepada guruguru sekolah agama rakyat (SAR) yang mengajar pendidikan agama Islam dengan peruntukan sebanyak RM870,000.

“Di peringkat sekolah menengah agama rakyat pula, sehingga Februari 2018, sebanyak RM2.4 juta telah diperuntukkan termasuk untuk program biasiswa kecil yang diberikan sebanyak RM600 setahun bagi seorang pelajar,” jelasnya.

Muhamad Kairi menyatakan bahawa bantuan awal persekolahan turut diberikan secara one-off kepada anak-anak asnaf.

“Bagi murid sekolah rendah, kita beri RM200 seorang, manakala sekolah menengah (RM250) mengikut permohonan dibuat oleh ibu bapa. “Selain itu, kita juga sediakan bantuan pakaian seragam sekolah yang melibatkan seramai 15,000 orang penerima,” katanya.

Bagi peringkat pendidikan tinggi pula katanya, ZPP menyediakan bantuan permulaan ke IPT yang diberikan secara terus kepada asnaf bermula dari peringkat sijil sehingga ijazah sarjana muda dengan jumlah penerima terkini adalah seramai 1,400 orang.

“Untuk sijil, kita beri sebanyak RM600, diploma (RM800) manakala ijazah sarjana muda (RM1,000) hanya untuk semester pertama sahaja.

“(Dan) apabila mereka masuk ke universiti, kita sediakan pula biasiswa IPT yang dipanggil program tajaan dan diuruskan juga oleh bahagian pendidikan JAIPP,” ujarnya lagi.

Selain itu, menurut Muhamad Kairi, ZPP turut menaja para pelajar untuk menjalani latihan kemahiran yang dilaksanakan dengan kerjasama PSDC (Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang) bagi membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat Islam untuk memenuhi keperluan industri di negeri ini.

“Melalui program ini, rakyat yang kurang berkemampuan diberi peluang berkursus dengan PSDC yang mana setakat ini 97 peratus pelajar yang mengikuti kursus ini telah ditawarkan pekerjaan di kawasan perkilangan di Bayan Lepas.

“ZPP juga adakan kerjasama dengan NAZA Academy Sdn. Bhd. dalam bidang automotif yang mana pelajar terpilih adalah daripada pelajar Maahad Tahfiz dan sekolah agama yang kurang mampu,” jelasnya.

Selain dalam bentuk wang ringgit, katanya, ada juga asnaf yang menerima bantuan dalam bentuk manfaat seperti program didik cemerlang akademik dan program penginapan kasih sayang yang melibatkan pelajar sekolah rendah yang kurang berkemampuan.

“Program didik cemerlang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang (ICU).

“Sebanyak 68 sekolah rendah dan sekolah menengah (16) yang kebanyakannya adalah sekolah agama serta sekolah-sekolah bantuan modal terlibat dalam program ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, Muhamad Kairi menyatakan, dalam pelbagai usaha yang dilaksanakan, ZPP kekal sinonim dengan institusi bertanggungjawab menguruskan kemiskinan masyarakat Islam yang mana sebanyak RM59.4 juta dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

“Keperluan sebulan untuk tujuan ini adalah sebanyak RM1.1 juta, dan dalam setahun kita belanjakan RM18 juta untuk memenuhi keperluan 3,400 orang asnaf sehingga tahun 2018.

“Ada juga penerima yang memerlukan keperluan semasa seperti makanan asasi dan kelengkapan rumah iaitu seramai 758 penerima di seluruh negeri dengan perbelanjaan bulanan sebanyak RM193,000,” ujarnya.

Antara inisiatif lain yang dilaksanakan ZPP adalah meningkatkan taraf dan kualiti hidup melalui pembinaan serta pembaikan semula rumah asnaf, meningkatkan taraf kesihatan dan program keusahawanan.

Semua inisiatif tersebut sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa demi mengangkat martabat dan taraf hidup masyarakat Islam di negara ini khususnya di Pulau Pinang.


Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives