BATU UBAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharap dapat pembangunan 419 unit rumah mampu milik (RMM) bagi membangunkan sebidang tanah terbiar (Lot 9117 dan 20113) di Sungai Dua, Daerah Timur Laut (DTL) di sini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan, pembangunan di atas tanah seluas kira-kira 1.9 ekar itu telah tertangguh sejak tahun 1991 lagi.

“Cadangan asal pembangunan bukan sahaja melibatkan RMM, malah turut merangkumi komponen komersial, kemudahan awam, pasar kering, pasar awam moden serta tempat letak kenderaan.
“Sebagai ADUN kawasan dan selepas mendengar keluhan penduduk, pendirian saya jelas bahawa komponen RMM dan kemudahan-kemudahan ini perlu dikekalkan.
“Saya tidak mahu ada projek berkonsepkan high-end yang akhirnya tidak mampu dibeli oleh rakyat. Di kawasan Batu Uban, kita memang kekurangan rumah yang mampu dimiliki,” ujarnya ketika membawa pemberita melawa lot tanah tersebut bersebelahan Vanda Business Park Sungai Dua di sini baru-baru ini.
Jelas Kumaresan, isu pembangunan tanah tersebut telah dibangkitkannya secara konsisten dalam persidangan DUN sejak 2019, termasuk mendapatkan penjelasan mengenai status projek dan tempoh pelaksanaannya.
“Pada 4 November 2022, saya dimaklumkan projek pembangunan ini dijangka bermula pada 2023, namun, sehingga kini masih belum ada perkembangan yang membolehkan projek ini dimulakan.
“Pada 2025 pula, dimaklumkan pemaju, Syarikat Hamna Sdn. Bhd. mempunyai kerjasama dengan pemaju lain bagi membangunkan tanah ini, tetapi kerjasama tersebut kemudiannya terbatal.
“Jawapan terkini pada 8 Mei 2026 pula menyatakan pembangunan RMM secara usahasama masih dalam proses rundingan dan pelantikan pemaju belum dimuktamadkan,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, sebelum ini beliau turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri membuka Request for Proposal (RFP) bagi membolehkan syarikat swasta yang berminat tampil membangunkan projek RMM di kawasan tersebut.
Katanya, terdapat pihak swasta yang menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan berkenaan, namun proses tersebut perlu mengambil kira perjanjian serta keputusan mahkamah yang menetapkan pembangunan tanah berkenaan perlu mendapat persetujuan pihak berkaitan.
“Kalau pihak Hamna tidak mampu membangunkan tanah ini, saya berpandangan Kerajaan Negeri mempunyai pilihan lain, termasuk membuka RFP atau mempertimbangkan pembangunan melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
“Kita sudah menunggu selama 35 tahun. Jangan lagi kita terus melengahkan projek ini,” katanya.