GEORGE TOWN – Seramai 150 kanak-kanak kanser bersama keluarga dijangka menyertai Program Kids Day Out 2026 yang akan berlangsung pada 16 September ini di Kompleks Masyarakat Penyayang, Pulau Pinang.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, program berkenaan bukan sekadar menyediakan aktiviti santai dan hiburan, malah menjadi ruang untuk kanak-kanak berkenaan melupakan seketika cabaran serta rutin rawatan yang mereka lalui.
“Melalui Kids Day Out 2026, kita mahu memberikan mereka ruang untuk menjadi kanak-kanak seperti biasa, bermain, bergembira dan menikmati satu hari yang penuh dengan senyuman tanpa memikirkan seketika cabaran serta ujian yang sedang mereka lalui.
“Pada masa sama, program ini turut menjadi satu bentuk sokongan moral kepada keluarga kerana apabila seorang kanak-kanak berdepan dengan kanser, cabaran itu bukan sahaja dilalui oleh kanak-kanak berkenaan, tetapi turut dirasai ibu bapa dan seluruh keluarga,” ujarnya dalam sidang media Program Kids Day Out 2026 di Komtar, sebentar tadi.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser (FOCCAN) Wilayah Utara, Maznah Tayib serta wakil badan sokongan daripada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Difahamkan, program yang memasuki edisi ke-11 itu akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang dengan menyediakan 12 reruai yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif untuk kanak-kanak serta keluarga.
Maznah berkata, Kids Day Out merupakan antara usaha pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya satu hari untuk kanak-kanak berkenaan menikmati keceriaan tanpa perlu memikirkan rutin rawatan seperti pengambilan ubat, radioterapi dan kemoterapi.
“Kadang-kadang kita tidak dapat menghilangkan penderitaan mereka, tetapi kita cuba menggantikannya dengan keceriaan untuk satu hari.
“Bagi sesetengah daripada mereka, mungkin inilah antara kenangan terakhir yang dapat mereka lalui bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Jadi, kita mahu memastikan mereka mempunyai satu kenangan yang indah untuk dikenang, selain memberikan sokongan emosi kepada ibu bapa dan keluarga,” jelasnya kepada pemberita.
Tambahnya, FOCCAN pada asalnya ditubuhkan bagi menyediakan sokongan emosi kepada ibu bapa kanak-kanak kanser, termasuk menyediakan ruang untuk mereka berkongsi dan meluahkan cabaran yang dihadapi.
“Namun, bantuan FOCCAN kini diperluaskan merangkumi keperluan seperti susu dan lampin pakai buang, selain bantuan kewangan serta pengangkutan kepada keluarga yang memerlukan.
“Usaha kami semakin meningkat dari tahun ke tahun dan kami amat memerlukan sokongan masyarakat. Kami adalah suara kepada kanak-kanak ini kerana mereka sendiri mungkin tidak mampu menyuarakan penderitaan yang mereka lalui.
“Kami berharap masyarakat terus bersama-sama menyokong usaha ini supaya kebajikan serta keperluan kanak-kanak kanser dan keluarga mereka dapat terus dibela,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, FOCCAN turut aktif meningkatkan kesedaran mengenai kanser kanak-kanak menerusi pelbagai program, termasuk kempen‘Shimmering in Gold’ yang diadakan sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-kanak.
“(Dan) Komtar telah menjadi bangunan pertama di dunia yang menyalakan lampu berwarna keemasan sebagai simbol sokongan terhadap pesakit kanser kanak-kanak,” katanya lagi.