‘❤️PENANG Street Food Competition 2022’ iktiraf Pulau Pinang sebagai syurga makanan

GEORGE TOWN – Pertandingan ‘❤️PENANG Street Food Competition 2022’ yang berlangsung dari 30 September hingga 30 November tahun lalu melabuhkan tirai setelah pemenang bagi 21 kategori dipertandingkan diumumkan hari ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, apabila kempen tersebut dilancarkan, hampir 1,600 gerai dari seluruh Pulau Pinang mendaftar untuk menyertai pertandingan ini meliputi kategori seperti char kuetiau, nasi kandar, mi sotong, laksa dan sebagainya.

 

“‘❤️PENANG Street Food Competition 2022’ merupakan satu usaha dan pendekatan untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai salah satu ibu kota makanan jalanan terbaik yang penuh dengan keaslian, keunikan serta variasi makanan yang amat sinonim dengan ungkapan syurga makanan.

 

“Seperti mana diketahui umum, Pulau Pinang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu bandar makanan terbaik di dunia dan pengiktirafan Michelin baru-baru ini turut mencerminkan budaya negeri Pulau Pinang yang berbilang kaum dalam dunia gastronomi.

 

“Sepanjang tempoh pertandingan ini, pihak penganjur telah menerima lebih 260,000 undi oleh lebih 120,000 pengundi, justeru, terima kasih di atas sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Dan juga semua gerai yang mengambil bahagian,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang-pemenang Pertandingan ❤️PENANG Street Food Competition 2022 di sini hari ini.

 

 

Difahamkan, ‘❤️PENANG Street Food Competition 2022’ merupakan julung kali diadakan.

 

Hadir sama pada majlis berkaitan, Exco Pelanongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Azman Sirun dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perhubungan Komuniti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

 

Dalam pertandingan tersebut, setiap kategori mempunyai tiga pemenang dan masing-masing menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM5,000 (pertama), RM3,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

 

“Saya berharap, ganjaran ini akan meningkatkan, menggalakkan serta memberi motivasi kepada para pemenang untuk terus mengorak langkah serta mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan.

 

“Malah, Kerajaan Negeri juga berharap kempen ❤️PENANG akan membuka lembaran baharu bagi seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bangkit dan bertindak dalam membina masyarakat yang bukan sahaja penyayang serta harmoni malah juga berdaya tahan untuk mengekalkan budaya, warisan serta identiti kita,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT