GEORGE TOWN – Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dilantik sebagai Duta Persatuan Sahabat Kanser Kanak-kanak Wilayah Utara (FOCCAN) bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan sokongan dan sumbangan kepada kanak-kanak yang menghidap kanser.
Jelas Awie, pelantikan tersebut diterima atas dasar keprihatinan dan pengalaman peribadi beliau yang pernah menjalani pembedahan membuang kanser pada buah pinggang pada 2021.
“Pengalaman melalui proses rawatan kanser memberikan perspektif tersendiri mengenai cabaran yang dihadapi pesakit, sekali gus mendorong saya untuk menyumbang tenaga dalam membantu golongan berkenaan.
“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk mempertimbangkan pelawaan ini kerana saya sendiri pernah melalui pengalaman berdepan kanser.
“Sudah sampai masanya untuk saya berkongsi pengalaman tersebut dan membantu menarik lebih banyak sokongan masyarakat terhadap usaha FOCCAN.

“Kita tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi apa yang termampu akan kita cuba lakukan, khususnya dalam menggalakkan orang ramai membantu serta meningkatkan kesedaran mengenai kanser,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Wings Motor Gang Society (WMGS) bersama FOCCAN dekat sebuah hotel di Tanjung Bungah di sini sebentar tadi.
MoU tersebut disaksikan oleh tetamu kehormat, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen dan Penerusi FOCCAN, Maznah Tayib.
Dalam pada itu, Awie yang juga aktif dalam kegiatan kebajikan menerusi kelab motosikal WMGS berkata, beliau akan turut memanfaatkan jaringan keahlian kelab berkenaan bagi membantu mengumpul sumbangan dan mendapatkan penajaan untuk menyokong usaha FOCCAN.
Menurutnya, kelab tersebut mempunyai lebih 500 ahli yang bukan sahaja berada di Semenanjung Malaysia dan Borneo, malah turut mempunyai jaringan di Singapura, Thailand serta Ireland.
“Kami memang sudah lama menjalankan aktiviti kebajikan secara senyap tanpa terlalu menghebahkannya.
“Jadi, pendekatan sama akan diteruskan dengan berusaha mendapatkan sumbangan daripada ahli kelab serta penaja yang berpotensi,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Maznah berkata, pihaknya kini mempunyai kira-kira 1,200 ahli berdaftar yang terdiri daripada kanak-kanak pesakit kanser, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan segera.
“Bagi tempoh tiga tahun pertama, fokus utama adalah membantu pesakit yang sedang menjalani rawatan, sebelum memperluaskan sokongan kepada aspek pemulihan serta persediaan kembali ke sekolah dan masyarakat.
“Selepas mereka melalui proses rawatan dan penyelenggaraan (maintenance), kita akan membantu dari segi persediaan kembali ke sekolah (back to school), termasuk memberikan keceriaan serta membina semula keyakinan diri mereka untuk kembali bergaul dengan masyarakat.
“Kita juga akan mengadakan pelbagai program yang dapat menceriakan kanak-kanak kerana kami percaya suasana positif dan sokongan emosi amat penting sepanjang mereka menghadapi proses rawatan,” katanya.
Difahamkan, bantuan FOCCAN merangkumi kanak-kanak seawal usia bayi sehingga 18 tahun, termasuk pesakit yang menghidap leukemia dan neuroblastoma atau kanser saraf.