1 daripada 5 rakyat Malaysia hidap diabetes, ADUN seru amalkan gaya hidup aktif setiap hari

TANJUNG BUNGA – Satu daripada lima rakyat Malaysia didapati menghidap kencing manis atau diabetes melitus atau 17.5 peratus daripada keseluruhan populasi negara ini.

 

Data tersebut diperoleh melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dijalankan pada tahun 2015.

 

ZAIRIL Khir Johari (berkemeja putih) ketika melawat ke salah sebuah reruai yang mengambil bahagian dalam acara berkaitan di sini baru-baru ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari, data NHMS sama juga menunjukkan 9.2 peratus daripada rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa mereka ialah pengidap diabetes.

 

“(Dan) data ini dikhuatiri meningkat ekoran amalan gaya hidup yang kurang aktif dan sihat serta pengambilan makanan secara berlebihan.

 

“Jadi amat penting bagi pengidap diabetes untuk mengambil tahu mengenai langkah-langkah kawalan dalam mengurangkan komplikasi yang mungkin dialami.

 

“Selain itu, pemeriksaan berkala, saringan serta rawatan kardiovaskular amatlah digalakkan,” katanya ketika hadir merasmikan ‘Dance with Diabetes’ sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2019 dekat Straits Quay di sini 17 November 2019.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Penang Adventist Hospital, Dr. Thomas Tean Wing Nyin; Pengerusi Diabetes Malaysia (Cawangan Pulau Pinang), Dr. Dicky Ng serta wakil penaja dan peserta.

 

SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam acara zumba.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir berharap rakyat di Pulau Pinang khasnya untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif setiap hari.

 

“Mengamalkan gaya hidup yang sihat adalah sesuatu yang menyeronokkan begitu juga dengan amalan pengambilan makanan yang seimbang, jadi mulakan hari ini.

 

“Misalnya, acara hari ini…diadakan dengan penuh keseronokan sekaligus dapat meningkatkan stamina peserta dan kesedaran umum mengenai penyakit diabetes ini,” ujarnya.

 

Zairil dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada Penang Adventist Hospital kerana secara berterusan mempromosikan gaya hidup sihat kepada umum melalui kempen-kempen yang dijalankan.

 

ANTARA yang mengambil bahagian dalam acara senam robik.

Kira-kira 400 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan usia menyertai ‘Dance with Diabetes’ anjuran Penang Adventist Hospital dengan kerjasama Diabetes Malaysia (Cawangan Pulau Pinang); Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Straits Quay selaku penaja lokasi.

 

Pelbagai acara menarik diadakan seawal jam 8 pagi antaranya senam robik; zumba; senaman kardio; penyediaan suplemen makanan sihat; saringan kesihatan percuma bagi pemeriksaan darah tinggi, lemak badan, kandungan glukosa, kolestrol dan berat badan serta ceramah kesihatan.

Nota :

NHMS adalah satu kajian untuk mendapatkan maklumat berkaitan status kesihatan masyarakat di Malaysia. Maklumat yang diperoleh akan dikaji dan dinilai bagi meningkatkan lagi taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Bermula tahun 2011, NHMS telah dijalankan setiap empat tahun sekali bagi memastikan data yang lebih terkini dapat digunakan bagi perancangan dan penilaian perkhidmatan dan program kesihatan di negara ini di samping memantau trend masalah kesihatan dengan lebih kerap lagi.

Tinjauan ini dilaksanakan oleh Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama pasukan penyelidik dari pelbagai jabatan di KKM dan Institusi Pengajian Tinggi.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI