10% populasi lengkap dua dos vaksin untuk berganjak ke Fasa 2

Admin
KETUA Menteri (berdiri, kiri sekali) menyantuni seorang warga emas yang sedang menunggu giliran untuk menerima vaksin di PPV di sini pada petang ini.

BAGAN DALAM – Sehingga 28 Jun 2021, seramai 1,003,717 orang atau 72.5 peratus populasi Pulau Pinang telahpun mendaftarkan diri sebagai pemohon vaksin, menerusi aplikasi MySejahtera.

Namun, menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, seramai 19.9 peratus atau 275,790 orang telah menerima dos pertama manakala kedua (7.9 peratus atau 108,840 orang).

Kon Yeow menyatakan bahawa untuk berganjak ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN), seramai 10 peratus populasi Pulau Pinang adalah perlu divaksin lengkap iaitu dua dos.

“Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, untuk beralih dari fasa pertama ke fasa dua PPN, salah satu daripada tiga kriteria utama adalah 10 peratus populasi mestilah lengkap menerima dua dos vaksin. Justeru, kita (Pulau Pinang) mesti mencapai kriteria ini terlebih dahulu sebelum beralih ke fasa dua PPN,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) dekat Bagan Specialist Centre di sini tadi.

Turut serta, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Dr Tan Hui Ling (Pengarah Urusan Bagan Specialist Centre); Cheow Jen Hurn (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Tan Thean Cheong (Pengarah Perubatan).

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hui Ling memberitahu bahawa PPV di sini mula beroperasi sejak Isnin lepas (28 Jun 2021), dan sehingga kini telah memberikan kira-kira 150 dos vaksin kepada para pemohon menerusi temu janji yang ditetapkan MySejahtera.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS