10 sekolah dan dua MPKK terima 500 baucar beli pakaian sekolah

 

AIR ITAM – Sebanyak 10 buah sekolah sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam dan dua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menerima 500 baucar bagi membeli-belah pakaian seragam sekolah untuk memenuhi keperluan pelajar terpilih.

Bercakap kepada pemberita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang memberitahu bahawa 200 baucar adalah disumbangkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh sementara baki 300 baucar lagi adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd..

“Kira-kira dua tahun para pelajar tidak melalui alam persekolahan secara fizikal disebabkan pandemik COVID-19.

“Sehubungan itu, dengan pemberian baucar ini sedikit banyak dapat membantu keluarga terpilih membuat persiapan anak-anak untuk ke sekolah pada tahun hadapan (2022).

“Saya juga berharap agar program Kembali Ke Sekolah dengan agihan 500 baucar ini dapat mengurangkan beban kewangan keluarga penerima,” jelasnya dalam acara berkaitan di sini pada 27 Disember 2021.

Dalam ucapan sama, Soon Siang turut merakamkan penghargaan atas sumbangan bantuan persekolahan dalam satu majlis yang dianjurkan oleh syarikat Teo Guan Lee (Pulau Pinang) Sdn. Bhd..

Difahamkan, Sekolah Kebangsaan (SK) Air Itam, SK Batu Lancang, SK Sri Aman, SK Seri Indah, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Sin Kang, SJKC Chiao Nan, Sekolah Kong Min Pusat, SJKC Kong Min Cawangan Satu, SJKC Ching Hwa Confusion A dan SJKC Chung Hwa Confusion B antara yang terpilih menerima baucar tersebut.

Sebanyak 40 baucar diserahkan kepada wakil MPKK Masjid Negeri, sementara 85 baucar diberi kepada MPKK Kampung Melayu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING