10 tahun tunggu, hari ini baru boleh ambil alih premis rekreasi awam – ADUN

Admin

TELUK AIR TAWAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad merakamkan penghargaan kepada semua pihak berwajib kerana beberapa kemudahan awam seperti gimnasium, lapangan papan luncur ekstrem, gelanggang futsal yang berhampiran Pantai Robina di sini berjaya diambil alih semula oleh pihak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Bercakap kepada pemberitahu, Mustafa Kamal memberitahu bahawa walaupun Kerajaan Negeri berpindah tangan sejak 2008, namun selama 10 tahun sebelum ini menyaksikan semua kemudahan rekreasi itu masih ‘dikuasai’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu.

Justeru, pagi tadi Mustafa Kamal menerima serahan kunci premis-premis awam daripada Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee untuk diselia oleh Pusat Khimat Rakyat Teluk Air Tawar dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

“Walaupun pelbagai cara digunakan, dalam tempoh 10 tahun itu (2008 hinggga 2018), kita tak dapat ambil alih kembali beberapa kemudahan rekreasi di sini.

“10 tahun tunggu, hari ini baru boleh ambil alih premis rekreasi awam.

“Jadi, pada hari ini, kita berjaya mengambil alih kembali pusat gimnasium ini serta beberapa kemudahan awam lain, yang maka akan kita guna sepenuhnya demi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” jelasnya dalam sidang media pada 31 Januari 2019.

Beliau dalam pada itu berharap pihak Lip Chee dapat membiayai tukar ganti semua peralatan sukan di gimnasium tersebut, sementara Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pula dapat mempercepat kerja-kerja menaik taraf struktur binaan kemudahan asas yang rosak akibat perbuatan vandalisme di sini.

“Program berkala iaitu ‘Teluk Air Tawar Sihat’ akan dilaksanakan di sini pada setiap hari Ahad, maka segala kemudahan rekreasi di sini adalah sangat diperlukan oleh penduduk setempat,” ujar Mustafa Kamal sambil menyatakan hasrat untuk membina sebuah gelanggang bola jaring bagi menggalakkan partisipasi gender wanita ke kawasan rekreasi pantai di sini.

Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal turut mengarahkan MPKK mengenal pasti premis-premis awam yang masih dikuasai pihak-pihak berkaitan supaya proses pengambialihan dapat dilaksanakan kelak seperti di kawasan rekreasi Taman Robina.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD