10,000 langkah sehari ke arah amalan gaya hidup

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU BETONG – Kira-kira 200 penduduk Kampung Titi Teras menyertai Karnival 10,000 Langkah Sehari MySihat di Dataran Masjid Titi Teras di sini baru-baru ini.

Karnival dianjurkan bersama Pejabat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong dan Persatuan Sukarelawan Kampung Titi Teras itu memberi peluang kepada penduduk mempelajari cara mudah untuk kekal sihat dan cergas.

PPKnya, Mohd. Tuah Ismail berkata, secara purata, seseorang individu berjalan 2,000 langkah sehari berikutan perubahan gaya hidup moden dan perkembangan teknologi, sekaligus meningkatkan risiko penyakit seperti hipertensi, kencing manis serta serangan jantung.

Katanya, penyakit tiga serangkai yang menjadi pembunuh utama di Malaysia mampu dikurangkan dengan mengamalkan berjalan 10,000 langkah sehari.

“Cara paling mudah untuk mencapai 10,000 langkah adalah dengan berjalan dalam setiap aktiviti yang kita lakukan atau berjalan dengan jumlah kilometer sehingga tujuh kilometer sehari.

“Saya harap aktiviti berjalan 10,000 langkah tidak hanya terhenti di sini, sebaliknya terus melakukan dan mengamalkan gaya hidup sihat atau terlibat dalam program-program kesihatan seperti Program Jom Sihat Kampungku yang dianjurkan secara bersama dengan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti),” ujarnya sejurus selepas acara pelepasan Karnival 10,000 Langkah Sehari MySihat di sini baru-baru ini.

Turut diadakan adalah saringan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan pameran oleh badan-badan korporat.