Jelajah Penang Sihat di Machang Bubuk

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

MACHANG BUBUK – Program Jelajah Penang Sihat anjuran pejabat Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Hearing Partners diteruskan ke Machang Bubuk bagi siri kelima jelajahannya baru-baru ini.

“Program tersebut bertujuan untuk membawa program cakna kesihatan ke seluruh daerah di negeri ini bagi merealisasikan visi Kerajaan Negeri iaitu Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Menurut Exconya, Dr. Afif Bahardin, jelajah kesihatan mensasarkan golongan kurang mampu bagi meningkatkan kesedaran terhadap tahap kesihatan penduduk setempat secara percuma.

“Pendekatan ini dibuat kerana masih terdapat penduduk yang tidak mampu menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan tidak empunyai masa ke hospital atau klinik untuk tujuan tersebut.

“Jadi, pendekatan diambil bagi membantu dan memudahkan penduduk setempat di samping merapatkan hubungan di antara Kerajaan Negeri dengan pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Dalam pada itu, Afif turut menggesa penduduk Pulau Pinang supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan mencegah penyakit dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan khidmat nasihat secara berkala.

Pada masa sama, beliau turut meminta mana-mana ADUN dan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) supaya menghubungi pejabat beliau untuk bekerjasama bagi menjalankan aktiviti sihat seumpama itu di kawasan masing-masing.