101,163 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sejak tahun 2008 sehingga kini telah menyediakan sebanyak 101,163 unit rumah mampu milik di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata jumlah itu merangkumi rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik.

Jagdeep semasa mengadakan sidang media berkaitan perumahan sebentar tadi.

“Berdasarkan statistik terkini didapati bahawa jumlah rumah mampu milik yang siap dibina adalah sebanyak 29,924 unit, sedang dalam pembinaan (23,222) serta telah mendapat kebenaran untuk merancang pula sebanyak 48,017 unit.

“Jumlah ini telah melebihi janji Manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu iaitu untuk menyediakan lebih 70,000 unit rumah mampu milik di negeri ini menjelang tahun 2025.

“Usaha ini tidak akan terhenti di sini sebaliknya Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha dengan lebih gigih untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Lee Chun Kit; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; wakil daripada Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri serta wakil-wakil pemaju.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga akan membantu pembeli yang berdepan masalah kadar penolakan pinjaman tinggi melalui skim sewa beli (RTO).

Justeru, katanya, dua lagi projek perumahan di Daerah Seberang Perai Tengah dan Daerah Barat Daya telah dikenal pasti untuk melaksanakan skim tersebut.

“Kita perlu lebih inovatif dengan mengeluarkan mekanisme berbeza bagi membolehkan pembeli dapat memiliki rumah pertama.

“Dari segi kelayakan bagi permohonan skim ini pula adalah mengguna pakai kriteria sedia ada di bawah syarat pemilikan rumah kos rendah,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Pada sidang media yang sama, Jagdeep turut mempelawa orang ramai ke Ekspo Perumahan Mampu Milik Pulau Pinang 2019 pada 8 hingga 10 Mac ini bertempat di Mydin Mall, Bukit Mertajam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD