103 keluarga Kampung Bagan Jermal terima sumbangan bekalan makanan asas

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini meluangkan masa berkunjung ke Kampung Bagan Jermal untuk menyampaikan sumbangan bagi mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan.

Sebanyak 103 keluarga dari kawasan terbabit menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri berupa bekalan makanan serta barangan keperluan asas seperti kurma, biskut, minyak, tepung gandum, pensanitasi tangan, pelitup muka dan sebagainya.

Difahamkan, penduduk di kawasan berkaitan terdiri daripada 101 keluarga Melayu dan dua keluarga berbangsa Tionghua.

Chow Kon Yeow menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dekat Kampung Bagan Jermal, di sini.

Rata-rata penerima dilihat tersenyum gembira sebaik sahaja menerima bungkusan pek bekalan makanan asas daripada Kon Yeow di kediaman masing-masing.

“Terima kasih diucapkan kepada Ketua Menteri kerana sudi melawat penduduk di sini dan memberikan sumbangan yang mana ia sedikit-sebanyak dapat meringankan beban kami dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan ini,” ujar salah seorang penerima ketika ditemui Buletin Mutiara di kediamannya dekat sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli Majlis Bagi MBSP, Khong Chee Seong; Pegawai Khas Ahli Parlimen Bagan, K.C. Tan dan pemimpin setempat.

Dalam pada itu, Rozali menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana sudi berkunjung ke kawasan Seberang Perai bagi mengagihkan sendiri sumbangan daripada Kerajaan Negeri kepada penerima yang layak.

Sr. Rozali Mohamud yang turut bersama-sama dalam sesi kunjungan tersebut.

“Saya amat berbangga kerana Y.A.B. Ketua Menteri sudi turun ke tapak untuk melihat sendiri keadaan penduduk dan menyampaikan sumbangan.

“Oleh itu, saya nasihatkan (penduduk) supaya kekal di rumah dan menjaga keselamatan diri,” serunya.

Terdahulu, Kon Yeow mengadakan kunjungan ke Pasar Sri Bandar bagi meninjau keadaan pelaksanaan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sambil mengedarkan pelitup muka sebelum bergerak ke Kampung Sungai Nyior dekat Bagan Dalam untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau kemudian meneruskan kunjungan ke Pasar Apollo dekat Jalan Raja Uda dan seterusnya mengakhiri sesi kunjungan dengan menyampaikan sumbangan kepada para pemandu teksi di Dewan Haji Ahmad Badawi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING