11 lagi varian Omicron dikesan dalam negara, Pulau Pinang minta maklumat lanjut KKM

Admin
JAGDEEP Singh Deo (berbaju putih) turut mengedarkan kalender 2022 semasa menjalankan operasi pemantauan SOP berkaitan di Pasar Awam Taman Free School di sini pada pagi tadi.

DATUK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Negeri memerlukan maklumat lanjut mengenai 11 lagi kes varian Omicron yang dikesan di negara ini.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata ia penting memandangkan lambakan pengunjung tempatan dan pelancong asing ke Pulau Pinang sejak pertengahan bulan Disember bagi menghabiskan cuti akhir tahun serta sambutan Hari Krismas kian ketara.

“Semua pihak perlu was-was dan waspada, patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) memandangkan semalam (18 Disember 2021) kita lihat ada 11 kes varian (Omicron) baru dikesan di negara ini.

“Ini, bermaksud suatu varian yang kita perlu berhati-hati untuk elak penularan wabak kembali ke Pulau Pinang.

“Sehubungan itu, kita (Kerajaan Negeri) mahu maklumat lanjut daripada Kementerian (Kesihatan Malaysia, KKM) dan saya minta Kerajaan Pulau Pinang waspada dengan perkembangan baharu ini,” jelasnya kepada pemberita selepas menyertai operasi pemantauan SOP berkaitan di Pasar Awam Taman Free School di sini pada 19 Disember 2021.

Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pengarah Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rasyidah Jalaludin; serta wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MBPP) setempat turut menyertai operasi pemantauan tersebut.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata demikian ketika mengulas laporan berita Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung sejumlah 13 kes dikesan membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) itu dikesan di Malaysia, setakat 18 Disember 2021.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 hingga kini, 17 pasar awam telah diarahkan tutup masing-masing di bahagian pulau dan Seberang Perai.

“Kita mengalu-alukan pengunjung ke Pulau Pinang, setelah sekian lama sektor pelancongan (negeri) terjejas begitu lama (akibat pandemik) tetapi jangan lupa perlawanan kita terhadap COVID-19 masih belum selesai sepenuhnya.

“Kita akan tegas kalau SOP tidak dipatuhi.

“Setakat ini di pasar awam dan restoran yang didapati tidak patuh SOP, kita telah tutup,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI