11 tahun berturut-turut anjur sambutan Ponggal di Kuil Sri Muniswarar dipuji

0338a546 b9a3 49a8 a007 687780e2aa03 KETUA Menteri (paling kiri) menyantuni kanak-kanak yang menyertai acara kebudayaan sempena sambutan Ponggal yang dianjurkan di Kuil Sri Muniswarar di sini pada 18 Januari 2024.

PERAI – Ratusan masyarakat Tamil lokal berhimpun bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di perkarangan Kuil Sri Muniswarar bagi menyaksikan serta menyertai pelbagai acara kebudayaan sempena sambutan Ponggal.

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memuji pihak penganjur kerana tidak pernah gagal dalam mengadakan sambutan tersebut sejak 11 tahun lepas.

“Sekiranya masyarakat kita tidak mengambil tanggungjawab menyambut acara tradisi seperti ini, lama-kelamaan acara ini berisiko pupus.

“(Sehubungan itu,) bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar atas inisiatif untuk terus menganjurkan majlis seperti hari ini,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di sini pada 18 Januari 2024.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga Perumahan dan Alam Sekitar.

Difahamkan, pertandingan pongal terpantas, periuk pongal berhias terbaik, anyaman thoranam, kolam, kolattam, saree drapping dan uriyadi merupakan antara acara kebudayaan yang dianjurkan sempena sambutan Ponggal.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan seimbang dan mampan yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Bagi masyarakat beragama Hindu umpamanya, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini telah meningkatkan peruntukan geran tahunan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang daripada RM1.5 juta kepada RM2 juta bermula tahun ini.

Bukan setakat itu sahaja, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau bersama-sama Sundarajoo telah menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) baru-baru ini bagi membangunkan Rumah Mampu Milik (RMM) di Kampung Manis.

“Pembangunan secara menyeluruh adalah diperlukan di kawasan ini sepertimana semua sedia maklum bahawa sebahagian besar kawasan ini adalah kawasan yang mempunyai kediaman tidak terancang dan mempunyai masalah perparitan yang menyumbang kepada masalah banjir.

“Pembangunan keseluruhan bagi kedua-dua projek RAC dan LPNPP di kawasan ini akan dapat menukar wajah daripada kawasan setinggan kepada pembangunan perumahan yang lebih teratur dan efisien,” ujarnya sambil berharap projek pembangunan tersebut dapat memacu pertumbuhan ekonomi masyarakat lokal.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyambut baik cadangan untuk mewujudkan kawasan parkir di kawasan pencawang elektrik dekat kuil ini, selepas mendapat bersetujuan berkaitan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

“Arkitek akan masuk pelan, sementara jawatankuasa pengurusan kuil akan memulakan projek (parkir) ini selepas kelulusan diperoleh,” ulasnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SIEW CHIA EN