115 daripada 177 peniaga ayam di bahagian pulau setuju guna peti pendingin

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang meneliti isu pembekalan ayam dan penguatkuasaan penggunaan peti pendingin (chiller) di semua pasar basah di bahagian pulau negeri ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, penggunaan peti pendingin di pasar-pasar basah adalah bagi memastikan keselamatan selain mengekalkan kebersihan produk rangkaian sejuk itu disimpan.

 

Lagipun, ia merupakan sebahagian daripada kewajiban yang digariskan oleh pihak Kementerian (Kesihatan Malaysia, KKM). Malah, kebanyakan negeri di Malaysia juga menggunakan kaedah sama (penyimpanan produk rangkaian sejuk menggunakan peti pendingin).

 

“(Dan) di bahagian pulau, daripada 177 peniaga dan pengedar ayam (di pasar-pasar basah), 115 (peniaga dan pengedar ayam) telah bersetuju untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan…seperti di Pasar Awam Taman Free School ini, tiga daripada empat penjaja telahpun menggunakan peti pendingin,” ujarnya pada sidang media yang diadakan sejurus mengadakan lawatan mengejut pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di sini pagi ini.

 

CONTOH penggunaan peti pendingin (chiller).

Turut sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nicholas Theng Jie Wey serta beberapa petugas MBPP.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang mendengar keluhan rakyat, pihaknya bersama-sama MBPP akan memberi komitmen untuk menyelesaikan isu tersebut termasuk meneliti untuk mewujudkan pusat penyembelihan ayam di bahagian pulau.

 

“Isu (penggunaan peti pendingin) ini timbul apabila kita mendapati bahawa tiada pusat penyembelihan ayam (di bahagian pulau) yang mana apabila ayam tiba di pasar (dari pusat penyembelihan di Seberang Perai), ia tidak didinginkan dalam peti pendingin oleh peniaga ayam.

 

(Dan) ini menyebabkan ayam disimpan (tempoh penyimpanan selepas sembelih) tidak berada pada tahap optimum (kualiti) selain melibatkan soal keselamatan dan kebersihan makanan yang dijual kepada rakyat.

 

“Saya harap jangan politikkan isu ini kerana Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan keselamatan dan kebersihan makanan kepada rakyat menjadi keutamaan,” tegasnya.

 

JAGDEEP Singh Deo pada sidang media di Taman Free School pagi ini.

Terdahulu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dalam suatu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menangguhkan penguatkuasaan penggunaan peti pendingin sehingga 31 Mei 2021 bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa tempatan itu mendidik dan membangkitkan kesedaran awam mengenai keselamatan dan kebersihan makanan.

 

Bagi memudahkan peniaga ayam mendapatkan bekalan ayam yang segar, MBPP kini dalam proses mencari tapak untuk membangunkan pusat penyembelihan dan pengedaran ayam di bahagian pulau.

 

Sebagai rekod, buat masa ini, terdapat 12 pusat penyembelihan ayam di Seberang Perai yang mana empat daripadanya mendapat pensijilan Tanda Kesihatan Veterinar (WHM).

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD