12 Waves, gudang satu tingkat terbesar negara kini di Pulau Pinang – KM

BUKIT TAMBUN – ’12 Waves’, yang dibuka oleh PKT Logistics Group dengan luas lantai 645,640 kaki persegi merupakan gudang satu tingkat paling besar di Malaysia.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan ekoran Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi pelaburan masa depan firma korporat tempatan tersebut.

“Saya begitu gembira kerana PKT Logistics Group memutuskan untuk memacu pertumbuhan fasa seterusnya mereka di Pulau Pinang, (yang kini dianggap sebagai) “Lembah Silikon Timur”, gerbang import dan eksport yang dinamik di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia, juga hab logistik negara terkemuka, malah merupakan salah satu destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ASEAN,” katanya ketika merasmikan pembukaan gedung terbesar negara The 12 Waves di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini 18 Ogos 2018.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu, industri logistik merupakan sektor sokongan paling penting dalam melonjak perkembangan industri pembuatan di negeri ini.

“Tahun lepas sahaja, pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan di Pulau Pinang mencatatkan RM10.8 bilion, mengatasi rekod terbaik 2016 dengan peningkatan 152 peratus, dan kedua tertinggi di Malaysia,” jelasnya.

Tambah beliau, dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Pelabuhan Pulau Pinang, ia akan mengoptimumkan ’12 Waves’ sebagai gedung logistik penting bagi industri pembuatan utama seperti Mazda, BMW, Peugeot, Kia dan Hyundai.

Selain itu, Kon Yeow turut memuji inisiatif PKT Logistics Group yang menyokong usaha Kerajaan Negeri membina bakat dalam kalangan pekerja sendiri, dengan mewujudkan program ABIB atau Anak Belajar Ibu Bekerja di tempat bekerja.

“Program ini akan menggalakkan suri rumah kembali ke tempat kerja dengan jadual kerja lebih anjal serta bergantung kepada kesesuaian mereka sendiri.

“Saya berharap pihak lain juga akan mencontohi program ABIB ini, dengan menyediakan lebih banyak peluang kerjaya kepada suri rumah yang berminat untuk kembali bekerja,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang.

Sebelum itu, Pengerusi Kumpulan PKT Logistics, Datuk Wira Jalilah Baba menyatakan bahawa pihak pentadbiran korporat turut memperuntukkan RM3 juta bagi mewujudkan kawasan lapang ala-ala Taman Mini Jepun yang unik, direka bentuk oleh kurator istimewa dari Tokyo, untuk dikunjungi orang awam kelak.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Yusni Md. Yusop turut sertai majlis perasmian ’12 Waves’, iaitu gedung satu tingkat terbesar negara di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD