1,200 penduduk KADUN Perai terima hamper sempena Tahun Baru Cina

PERAI – Seramai 1,200 penduduk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai terutamanya masyarakat Cina menerima sumbangan hamper sempena perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata bahawa pemberian sumbangan hamper adalah bagi menggantikan tradisi rumah terbuka yang tidak dapat dianjurkan pada tahun ini susulan penularan pandemik COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.

Penduduk Perai hadir menerima sumbangan hamper sempena Tahun Baru Cina.

“Oleh itu, KADUN Perai melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Chai Leng telah menyumbangkan sebanyak 1,200 hamper kepada penduduk khususnya masyarakat Cina di sini.

“Diharapkan dengan pemberian hamper ini akan dapat memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini yang masih diadakan dalam normal baharu,” katanya ketika berucap pada program berkenaan dekat Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai, P. David Marshel dan Jason Raj serta Pengerusi MPKK Taman Chai Leng, Tan Hock Chai.

Antara penerima yang hadir.

Ramasamy dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh penduduk Perai kerana telah memperikan kepercayaan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat bagi tempoh tiga penggal berturut-turut.

“Terima kasih atas sokongan penduduk Perai sehingga membolehkan saya memenangi pilihan raya dengan majoriti besar pada pilihan raya umum lalu, dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Ahli Exco (Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains & Teknologi).

Sebanyak 1,200 hamper diagihkan kepada penduduk Perai.

“Disebabkan sokongan padu ini jugalah telah membolehkan kita (kepimpinan negeri) melaksanakan pelbagai projek pembangunam dan menaik taraf infrastruktur di kawasan ini untuk dinikmati oleh penduduk Perai,” katanya lagi.

Sementara itu, David Marshel dalam ucapannya berkata bahawa pelbagai perubahan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di KADUN Perai khasnya di Taman Chai Leng sejak tahun 2008.

Beliau berkata, antaranya adalah penaiktarafan jalan dan laluan pejalan kaki yang lebih selesa serta projek perparitan yang lebih efektif khususnya di Taman Chai Leng.

“Sekarang kita sedang menyiapkan projek perparitan dan akan disusuli dengan penurapan keseluruhan jalan di taman ini demi keselesaan penduduk.

“Pada masa akan datang, kita juga sedang merancang untuk membina tapak gerai di kawasan lapang di hadapan Dewan Serbaguna Taman Chai Leng untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF