13 tahun sekolah Tamil di Pulau Pinang terus dibantu

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri selama 13 tahun sejak 2008 terus komited menjaga kebajikan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum termasuk masyarakat India demi merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke atah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pada tahun ini, Kerajaan Negeri mengekalkan kadar peruntukan RM2 juta kepada sekolah-sekolah Tamil, tadika (RM150,000), tiga sekolah Punjabi (RM90,000) dan Tabung Khas Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil (RM150,000).

“Kita sedar peruntukan bantuan ini mungkin tidak cukup untuk menanggung kos penambahbaikan keseluruhan, namun, saya percaya ia akan menjadi langkah permulaan untuk pelaburan modal insan yang baik kepada negeri Pulau Pinang.

“(Sejak tahun 2008) sehingga kini, pemberian ini masih diteruskan, malah ia tidak terhad kepada sekolah sahaja, Kerajaan Negeri juga turut memberi sumbangan kepada Tabung Khas Sekolah-Sekolah Tamil,” jelasnya dalam Majlis Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2021 Kepada Sekolah Tamil, Tadika Di Sekolah Tamil dan Sekolah Punjabi dekat Komtar di sini pada 13 April 2021.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees serta Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil, Dato’ Dr. K. Anbalakan.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memberitahu bahawa pentadbirannya baru-baru memberi kelulusan sebidang tanah dekat Air Itam yang dimohon oleh pentadbir sebuah sekolah rendah Tamil.

“Pihak sekolah boleh buat rayuan, dan Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan sebab bukan niat kita ingin menyusahkan pihak sekolah, cuma sekadar dapat kita bersama-sama menghargai nilai tanah (kira-kira RM30 juta untuk dua ekar) yang ditawarkan di Pulau Pinang begitu tinggi,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai cadangan Satees supaya sebuah sekolah rendah Tamil baru dibina di atas sebidang tanah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Taman Bagan dengan menggunakan ‘lesen’ sekolah Tamil sedia ada dari luar Pulau Pinang.

Sebelum itu, Ramasamy yang juga ADUN Perai turut merayu kepada pentadbir sekolah-sekolah Tamil supaya lebih menghargai kewujudan tadika-tadika Tamil swasta yang lebih awal beroperasi, di samping tadika-tadika baharu dengan bantuan kerajaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD