145 pelajar terima wang pendahuluan PTPTN, bantu ringankan beban ibu bapa

PADANG LALANG – Seramai 145 anak jati Pulau Pinang menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi sesi kemasukan September 2019.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berharap agar pemberian wang pendahuluan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ibu bapa pelajar.

“Bagi Parlimen Bukit Mertajam, PTPTN telah menawarkan WPP kepada 145 orang pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM217,500.00.

“Setiap pelajar yang layak menerima RM1,500 untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan masuk ke universiti.

“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri menyediakan Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (iBITA) bagi warga negeri yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM8,000 sebulan.

“Bantuan diberikan adalah berjumlah RM1,000 bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran di universiti di Semenanjung manakala RM1,200 (Sabah dan Sarawak),” ucapnya semasa hadir ke majlis penyerahan WPP dekat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beng Teik (Pusat), semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon; Wakil ADUN Padang Lalang, Jothi Jhen Hao; Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Benard Cheen Goon Hooi dan Pengurus Besar PTPTN, Noor Hasran Mohd. Noor.

Turut serta, Wakil Lembaga Pengelola Sekolah SJKC Beng Teik, Dato’ Ooi Eng Hock; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Yang Dipertua Tan Beng Teik dan Guru Besar SJKC Beng Teik, Tan Lee Eng.

Tambah beliau, permohonan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri tersebut boleh dikemukakan melalui ‘online’ atau hadir sendiri ke pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dan Pejabat Ahli Parlimen masing-masing.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan menemubual beberapa penerima untuk melihat sejauh mana WPP membantu mereka dalam membuat persediaan sebelum melangkah ke universiti.

Bagi NUR ALIA NATASHA FOZI, 19, menzahirkan ucapan terima kasih kepada PTPTN atas pemberian wang pendahuluan pembiayaan tersebut.

Saya berasa sangat bersyukur atas pemberian WPP ini kerana dapat membantu saya membeli barang keperluan sebagai persediaan untuk mendaftar di universiti nanti.

“WPP sememangnya dapat meringankan beban ibu bapa saya,” katanya yang bakal menlanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang perakaunan.

Seorang pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), FATEN NURFAHIRA AZIZAN, 19, berasa gembira kerana terpilih sebagai penerima bantuan.

“Saya berasa amat gembira menerima bantuan ini kerana banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan sebelum mendaftar masuk ke universiti nanti.

“Sebelum ini, ibu bapa saya menggunakan wang mereka untuk membayar yuran semester pertama supaya saya dapat melanjutkan pelajaran.

“Justeru, menerusi pemberian WPP amatlah bermakna bagi saya kerana dapat menampung sedikit sebanyak wang perbelanjaan untuk masa hadapan,” katanya yang mengambil jurusan psikologi di universiti berkenaan.

Manakala, YEOH YI ROU, 20, memberitahu bahawa bantuan yang diterima tersebut dapat meringankan bebanan keluarganya.

“Saya sangat gembira menerima wang pendahuluan ini kerana dapat membeli barang keperluan seperti buku, pakaian dan sebagainya,” katanya yang mengambil jurusan Teknologi Makanan di USM.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN