GEORGE TOWN – Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah meluluskan pelantikan seramai 48 Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkuat kuasa 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2026.
Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, pelantikan kali ini menyaksikan sejumlah 33 Ahli Majlis dikekalkan dan 15 Ahli Majlis merupakan pelantikan baharu.
“Pertukaran 15 Ahli Majlis bagi tahun 2026 adalah terdiri daripada tujuh Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan lapan di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 20 Disember 2025.

Menurut Mooi Lye, majlis angkat sumpah dan menandatangani perakuan menerima jawatan akan diadakan pada 2 Januari 2026.
“Pada 2 Januari nanti, majlis angkat sumpah bagi Ahli Majlis MBSP akan diadakan jam 9.00 pagi di Dewan Kenanga, Menara MBSP dekat Jalan Perda.
“Manakala bagi MBPP pula pada jam 3.00 petang di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mooi Lye turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Majlis atas komitmen serta perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tahun 2025.
Bagi Ahli Majlis yang akan dilantik semula, diharap usaha murni ini dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Pulau Pinang.
“(Dan) bagi Ahli Majlis yang tidak dilantik semula, ini bukan bermaksud segala usaha yang diberikan akan terhenti di sini sahaja, sebaliknya merupakan satu ‘pit stop’ untuk memberi ruang kepada penjanaan semula tenaga (re-energize) sebelum meneruskan perjuangan melalui peranan dan platform lain,” katanya.
Difahamkan, 15 Ahli Majlis baharu yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Barisan Nasional (BN) serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Berikut adalah Ahli Majlis MBPP yang baharu iaitu K. Deenadayalan (DAP), Foo Yu Keong (DAP), Mohd. Aidil Fitri Ibrahim (PKR), Muhammad Adzlan Adzhar (PKR), Tan May Peng (PKR), S. Manimaran (PKR) dan Muhamad Nayim Othuman Mydin (PKR).
Sementara itu, MBSP menyaksikan pelantikan Linda Ng Kerh Wei (DAP), Tan Chee Teong (DAP), K. Yoganraj Thever (DAP), Hasrul Husin (PKR), Ahmad Rizal Abd. Hamid (PKR), Anuar Yussoff (PKR), Datuk Mohd. Zaidi Said (BN) dan Chang Kim Joo (NGO) sebagai Ahli Majlis baharu.
Teks & Gambar: AINUL WARDAH SOHILLI