GEORGE TOWN – Pemerkasaan wanita bukan isu wanita semata-mata, sebaliknya merupakan isu pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan daya tahan keluarga.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, apabila wanita diperkasa, mereka dapat membuat pilihan yang bermanfaat menerusi tadbir urus, kepimpinan dan pelaburan sosial.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pengumuman Kempen Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Komtar, di sini pagi tadi.
Difahamkan, Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang akan diadakan pada 31 Mac 2026 di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Bandar Perda, Seberang Perai Tengah.
Menurut Siew Khim, bagi tahun 2026, Pulau Pinang memilih tema antarabangsa ‘Give to Gain’ atau dalam Bahasa Melayu, ‘Beri Demi Perkasa’ yang merangkumi pemberian peluang, latihan, akses pasaran, keterlihatan dan kepimpinan.
“Bagi memastikan tema ini diterjemahkan secara berstruktur dan berimpak, sambutan akan digerakkan menerusi beberapa komponen utama seperti Semarak Ungu yang membawa maksud keadilan, maruah dan kesaksamaan.
“Platform pemerkasaan turut dilaksanakan melalui kempen guna sama, keusahawanan, kemahiran praktikal serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Selain itu, turut diperkenal adalah #BizIbuTunggal bersama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri),” ujarnya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng dan Ahli Lembaga Pengarah PWDC, Dato’ Rohana Abdu Ghani.
Dalam menjayakan sambutan tersebut, Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang memaklumkan bahawa PWDC selaku penganjur telah menerima persetujuan daripada 27 organisasi untuk menjadi rakan kerjasama.
“Saya menyeru lebih banyak organisasi, syarikat swasta, institusi dan rakan strategik untuk bersama-sama menjadikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026 sebagai milik kita bersama serta mencipta impak yang besar dan bermakna,” serunya.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ALISSALA THIAN