PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri sentiasa menjadikan keselamatan rakyat sebagai keutamaan utama dalam setiap perancangan dan dasar pembangunan.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye , beliau percaya bahawa pembangunan fizikal tanpa perlindungan keselamatan hanyalah kemajuan yang rapuh.
“Aspirasi Kerajaan Negeri adalah untuk membangunkan Pulau Pinang yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan infrastruktur, tetapi juga selamat, berdaya huni dan berdaya tahan terhadap sebarang risiko bencana.
“Dalam konteks ini, keselamatan kebakaran perlu menjadi elemen teras dalam perancangan bandar, kelulusan pelan bangunan, pengurusan premis perniagaan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Walau sehebat mana undang-undang dan garis panduan yang digubal, keselamatan hanya akan berkesan apabila semua pihak (kerajaan, agensi pelaksana, pengurusan premis dan masyarakat) memainkan peranan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab,” ujarnyq pada Kempen Keselamatan Kebakaran Ops Siaga Raya 2026 Sempena Tahun Baru Cina & Hari Raya Aidilfitri di Queensbay Mall petang tadi.
Hadir sama Pengarah Jabtan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang, Pegawai Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB), Mohamad Shoki Hamzah.
Tambahnya budaya keselamatan perlu bermula dari rumah, diperkukuh di tempat kerja dan dipraktikkan di ruang awam agar ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Pulau Pinang.
“Musim perayaan seharusnya menjadi detik untuk mencipta kenangan manis bersama keluarga dan sahabat handai, bukannya episod duka akibat kecuaian, kelalaian atau kegagalan mematuhi aspek keselamatan asas yang sebenarnya boleh dielakkan dari awal lagi.
“Kita tidak mahu hanya dengan satu soket yang rosak, satu laluan kecemasan yang terhalang atau satu tindakan sambil lewa menjadi punca kepada insiden besar yang memberi kesan jangka panjang kepada mangsa, keluarga dan masyarakat keseluruhannya,” maklum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu lagi.

Pada majlis sama, Penyampaian Sijil Perakuan Bomba tuut disampaikan kepada Pasukan Bomba Komuniti dan Teman Pili Bomba.
Mohamad Shoki dalam pada itu memaklumkan kesiapsagaan pasukannya juga berada pada tahap tertinggi apabila cuti bagi 80 peratus anggotanya dibekukan namun selebihnya masih boleh dipanggil bertugas sekiranya diperlukan.
“Cuti dibekukan seminggu sebelum raya (Tahun Baru Cina) dan seminggu selepas raya, ini melibatkan hampir 700 anggota bomba di Pulau Pinang,” katanya lagi.