Mei San stabil selepas ketumbuhan 20 kg dibedah – Exco

Admin

DATUK KERAMAT – Ketumbuhan seberat 20 kilogram (kg) di bahu kiri Thum Mei San akhirnya berjaya dipisahkan dengan pemotongan lengan kiri pesakit tersebut dalam satu pembedahan di Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin semasa membuat lawatan rasmi memberitahu, Mei San yang telah enam tahun ‘menderita’ sebelum ini kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan rapi di sini.

“Saya pun tidak dapat memastikan bila beliau dibenarkan pulang, tetapi, dari apa yang saya lihat, keadaannya stabil…beliau mendapat rawatan rapi yang baik di sini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada wartawan baru-baru ini.

Beliau berharap Mei San tabah dengan ketentuan takdir serta bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

Sebelum itu, Afif turut mengadakan pertemuan tertutup dengan pentadbir HPP untuk mendapatkan maklum balas berwajib berhubung status Mei San.

Terdahulu, Mei San menjadi perhatian apabila beliau melahirkan rasa kecewa ekoran pembedahan berwajib ke atas dirinya terpaksa ditangguhkan atas faktor masalah kewangan.

Selepas itu, beberapa pihak melancarkan operasi mengutip dana serta berdoa kepada Mei San sehingga beliau selamat menjalani pembedahan.