16 sekolah sekitar KADUN Batu Maung terima topeng muka dan hand sanitizer sebagai langkah menghadapi wabak koronavirus

BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Dato’ Abdul Halim Hussain dengan kerjasama Ionic Global Sdn.Bhd. mengagihkan topeng muka dan hand sanitizer kepada 16 sekolah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung di sini semalam.

Sebagai langkah menghadapi krisis wabak koronavirus yang semakin membimbangkan kini, Abdul Halim pada majlis penyampaian berkata, pengurusan sekolah perlu memberikan peringatan kepada para pelajar tentang langkah-langkah meningkatkan kebersihan diri dari semasa ke semasa.

“Mask dan hand sanitizer ini hanya sebagai langkah berjaga-jaga kepada kita semua, apa yang lebih penting adalah setiap daripada pelajar perlu meningkatkan kebersihan diri setiap masa.

“Mereka (pelajar) perlu diingatkan agar sentiasa membasuh tangan, mengambil berat tentang kesihatan sakit atau demam dan mengamalkan sikap sentiasa menjaga kebersihan.

“Kebersihan bermula daripada rumah dan begitu juga sekolah,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Topeng Muka dan Hand Sanitizer bertempat di South Plaza Bay di sini semalam.

Hadir sama, Chairlady Ionic Global Sdn, Bhd., Michelle Lau, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan wakil-wakil pihak pengurusan sekolah yang terlibat.

Setiap sekolah dibekalkan dengan tiga kotak topeng muka dan 12 botol hand sanitizer sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada Ionic Global Sdn. Bhd..

Dalam perkembangan sama, Abdul Halim yang juga merupakan Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan memberitahu bahawa bagi tempoh 27 Januari hingga 3 Februari lalu, sebuah kedai telah dikenakan kompaun kerana didapati menjual topeng muka melebihi harga yang ditetapkan.

“Pemeriksaan telah dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNPP) ke atas 64 penjual iaitu satu premis pemborong dan 63 (peruncit) bagi tempoh tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, KPDNPP telah mengeluar kompaun ke atas sebuah premis yang menjual topeng muka N95 dengan harga RM7 seunit. KPDNPP telah merampas 140 topeng muka dan mengeluarkan kompaun RM250 di bawah Seksyen 11 Akta Hal Ehwal Pengguna 2011.

“Justeru, saya ingin menasihatkan kepada semua penjual, pembeli dan pemborong agar tidak mengambil kesempatan di dalam situasi ini dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana kita dari semasa ke semasa akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan,” tegas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD