LUNA Lights Wonderland kini di Upcycle Park MBSP

Admin

SEBERANG JAYA – Pesta lampu LED, LUNA Lights Wonderland yang lazim diadakan di Putrajaya, kini dianjurkan di Taman Upcycle MBSP.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berharap penganjuran acara yang julung-julung kalinya diadakan tersebut dapat menambahkan lagi tarikan pengunjung ke Seberang Perai, selain meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

“Kita (MBSP) berjaya mengubah kawasan (koridor hijau berkeluasan kita-kira 9,684.5 meter persegi)…dari kawasan yang suram dan gelap menjadi kawasan cerah yang begitu menarik untuk penduduk serta pengunjung beriadah termasuk pada waktu malam,” jelasnya ketika merasmikan acara tersebut.

Beliau memberitahu pesta lampu LED itu berlangsung selama 17 hari sehingga 23 Februari 2020 dengan bayaran masuk RM8 untuk dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak.

Sebelum itu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya turut merakamkan penghargaan atas penganjuran pelbagai acara menarik hingga menggamit ramai pengunjung ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan.

Konsulat Besar Thailand ke Malaysia, Raschada Jowalai dan Pengasas Luna Lights Wonderland turut sertai acara perasmian pesta lampu LED tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB