16 terima sijil tertinggi Pengakap Raja

DATUK KERAMAT – Seramai 16 anggota Pengakap Pulau Pinang dianugerahkan sijil pencapaian tertinggi iaitu Pengakap Raja baru-baru ini.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee bertempat di Wisma Pengakap Pulau Pinang di sini semalam.

Lip Chee ketika berucap berkata, Pengakap Raja merupakan salah satu anugerah pencapaian tertinggi dalam pergerakan pengakap di seluruh dunia, di mana ahli-ahlinya perlu melepasi beberapa ujian bertulis serta (ujian) praktikal.

“Dengan kemahiran (pengakap) yang dikuasai serta personaliti cemerlang, barulah ahli akan dianugerahi Pengakap Raja.

“Majlis ini juga amat bermakna kerana sejak pergerakan pengakap bermula di Pulau Pinang pada tahun 1908, selama 111 tahun tidak pernah melahirkan Pengakap Raja Udara, tetapi dalam sejarah kini ia yang pertama diwujudkan di Pulau Pinang, syabas!,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Hadir sama barisan kepimpinan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang.

Pada majlis berkaitan, 16 pengakap terpilih telah menerima lencana dan sijil pengiktirafan tertinggi berkenaan.

Serentak itu, Lip Chee dalam ucapannya turut mengumumkan penaiktarafan padang Wisma Pengakap Pulau Pinang sekaligus memberikan khabar gembira buat persatuan beruniform berkenaan.

“Saya akan peruntukan kira-kira RM8,000 bagi menaik taraf padang ini yang tidak rata, diharap inisiatif ini akan memanfaatkan ahli-ahli pengakap supaya menjalani latihan di sini,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADUN