1,631 permohonan pinjaman Skim Peka PKS diluluskan – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak RM28,585,000 telah diluluskan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini yang memohon pinjaman melalui Skim Pinjaman Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang atau Skim Peka PKS.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa jumlah tersebut adalah melibatkan sebanyak 1,631 permohonan yang diluluskan.

“Daripada jumlah ini, kita telah lepaskan pinjaman kepada 1,449 permohonan membabitkan RM25.14 juta dan 182 permohonan yang diluluskan masih lagi di peringkat dokumentasi.

“Baki pinjaman berjumlah RM1.4 juta lagi akan digunakan untuk beberapa kes rayuan membabitkan kira-kira 100 pemohon yang mana pada minggu depan kita akan selesaikan agihan pinjaman ini,” ujarnya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah investPenang (iP) merangkap Penasihat Pelaburan kepada Ketua Menteri, Dato’ Seri Lee Kah Choon serta Ketua Pegawai Eksekutif investPenang, Dato’ Loo Lee Lian.

Difahamkan, daripada jumlah tersebut, 124 permohonan yang diterima adalah membabitkan usahawan IKS dengan jumlah pinjaman diluluskan sebanyak RM6.2 juta, manakala bagi PKS pula adalah sebanyak 1,507 permohonan berjumlah RM22,385,000.

Yeoh Soon Hin.

Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin pada sidang media yang sama menjelaskan bahawa 60 permohonan telah diluluskan di bawah Skim Peka 2.0 bagi sektor pelancongan dengan jumlah pinjaman sebanyak RM2,215,000.

“Jumlah yang ditolak adalah sebanyak 30 permohonan kerana tidak memenuhi krateria yang ditetapkan manakala 23 permohonan lagi masih dalam proses penilaian.

“Baki lebih RM7 juta daripada keseluruhan peruntukan (RM10 juta) akan diisi oleh permohonan seterusnya,” jelasnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM30 juga melalui Skim PKS bagi membantu usahawan terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui skim sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM10 juta bagi membantu memulihkan sektor pelancongan yang merupakan sektor yang paling terjejas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALVIE CHENG