TELUK AIR TAWAR – Seramai 167 pelajar daripada enam buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini menerima sumbangan cermin mata menerusi Program Sumbangan Cermin Mata 2026 anjuran Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB).
Program di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JKSB menerusi teras Sinar Sejahtera itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang, di sini sebentar tadi.
Ketua Pegawai Integriti & Governans JKSB, Muhamad Nor Anazim Rejab berkata, sumbangan cermin mata kepada para pelajar adalah bertujuan membantu meningkatkan tahap penglihatan mereka demi menyokong proses pembelajaran yang lebih berkesan.


Menurutnya, program yang diperkenalkan sejak tahun 2023 itu merupakan antara komitmen berterusan JKSB dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam aspek pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
Katanya lagi, bagi pelaksanaan tahun ini, seramai 167 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Perdana, SK Hashim Awang, SK Batu Kawan, SMK Dato’ Onn, SMK Gemilang dan SMK Prai telah dikenal pasti sebagai penerima bantuan.
“Bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, JKSB bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam mengenal pasti pelajar yang layak.
“Malah, pemeriksaan kesihatan mata secara percuma turut dijalankan oleh pakar optometri tempatan bagi menentukan tahap penglihatan serta keperluan cermin mata yang sesuai untuk setiap pelajar,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Pada majlis itu, Muhamad Nor Anazim turut menyampaikan sumbangan secara simbolik kepada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zaki Zamani Abu Bakar, disaksikan wakil sekolah dan para pelajar.



Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid PPD Seberang Perai Tengah (SPT), Suhaizi Samail; Penolong Pengarah Pendidikan Negeri Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Muniera Mohamad; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Hal Ehwal Murid PPD SPU, Che Asbah Yakob; Pengetua SMK Gemilang, Norulamin Ismail serta wakil-wakil sekolah yang terlibat.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa pengesanan awal masalah penglihatan amat penting kerana penglihatan yang baik memainkan peranan besar dalam membantu pelajar mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa dan meningkatkan keyakinan diri.
“Kami berharap sumbangan cermin mata ini dapat membantu para pelajar melihat dengan lebih jelas, mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan serta meningkatkan potensi akademik mereka,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), JKSB memahami kepentingan penglihatan yang baik bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malah sebagai elemen penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Penglihatan yang jelas membolehkan pemandu mengenal pasti keadaan trafik, papan tanda dan sebarang risiko di jalan raya dengan lebih pantas serta tepat.
“Justeru, JKSB akan terus memperkasakan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mata dan keselamatan menerusi inisiatif Sinar Sejahtera,” katanya.



Beliau berkata, pihaknya turut menyedari kos mendapatkan cermin mata boleh menjadi beban kepada keluarga berpendapatan rendah, justeru JKSB komited meneruskan program berkenaan serta memperluaskan manfaatnya kepada lebih ramai pelajar pada masa hadapan.
Sementara itu, Norulamin ketika berucap merakamkan penghargaan kepada JKSB atas keprihatinan membantu pelajar yang memerlukan.
Menurut beliau, sumbangan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan tahap penglihatan pelajar, malah memberi peluang kepada mereka mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa, yakin dan berkesan.
Beliau turut menggalakkan pelajar agar menghargai sumbangan yang diterima serta terus aktif dalam aktiviti kokurikulum sebagai usaha membentuk kepimpinan, disiplin, semangat kerjasama dan sahsiah yang seimbang.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: G. REVATIC