GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang yang telah memberi mandat selama 17 tahun kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan Negeri cuba melakukan yang terbaik demi kesejahteraan negeri Pulau Pinang.
“Selain Hari Wanita (hari ini), saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan saya kerana hari ini adalah ulang tahun ke-17 kami dipilih sebagai Kerajaan Negeri.
“Saya harap dalam 17 tahun ini, dengan jentera-jentera kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil rakyat sendiri, telah menunaikan tanggungjawab kerana diberi mandat untuk memerintah Pulau Pinang.
“(Dan) mandat ini perlu diperbaharui setiap lima tahun, bukan automatik 20 atau 30 tahun, ini merupakan kali keempat kita memperoleh mandat daripada pengundi-pengundi,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa Anjuran Persatuan Muslim Kadayanallur (PMK) Pulau Pinang dan Anugerah Tokoh Wanita PMK di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato Ir. A. Rajendran dan barisan kepimpinan PMK.
Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota dalam pada itu mengajak semua pihak untuk bersama-sama terus memajukan Pulau Pinang selaras dengan mandat yang diperoleh.
“Maka marilah kita meneruskan usaha-usaha memajukan negeri Pulau Pinang bersama-sama Kerajaan Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat jelata.
“Harap usaha ini akan diteruskan, saya juga berharap dalam 17 tahun ini tidak mengecewakan tuan-tuan dan puan-puan yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami,” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD