180km laluan berbasikal akan dipasang lampu solar – Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Laluan berbasikal sepanjang 180 kilometer (km) di bahagian pulau akan dipasang lampu yang dilengkapi sistem solar tidak lama lagi, melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) dan projek-projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang melibatkan pihak swasta.

Bercakap kepada pemberita, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa dalam masa terdekat projek pemasangan sistem solar akan dilaksanakan di ‘spiral bridge’ atau lebih dikenali sebagai Jambatan Harapan dekat Queensbay Mall, Pantai Jerejak.

Projek tersebut, menurutnya merupakan salah satu daripada 60 inisiatif pintar merealisasikan misi Kerajaan Negeri iaitu ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Pintar, Sihat dan Selamat’ dan Penang2030.

“Jambatan Harapan ini salah satu bahagian daripada 180 km laluan berbasikal, sebagai projek perintis, selain ada beberapa kawasan lain juga akan (dipasang) panel solar melalui CSR dengan pihak swasta.

“Ada beberapa kawasan laluan berbasikal juga telah dikenal pasti, akan dipasang panel solar, tetapi dengan kerjasama pihak swasta.

“(Pemasangan sistem solar di Jambatan Harapan) ini merupakan salah satu daripada 60 inisiatif pintar nak direalisasikan di Pulau Pinang.

“Melalui program perkongsian awam swasta (PPP), pihak swasta akan masuk untuk adakan panel swasta (di Jambatan Harapan),” jelasnya di lobi Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini pada di sini pada 8 September 2020.

Sebelum pada itu, beliau menyertai Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang menyaksikan istiada Majlis Angkat Sumpah dan Melafazkan Ikrar Terimaan Jawatan oleh dua Ahli Majlis baharu, Tan Seng Keat dan Quah Boon Lim.

Ketika berucap, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan penel solar di tiga bangunan milik pihak berkuasa tempatan berkenaan.

“Kita sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad) di mana mereka telah kenal pasti sekurang-kurangnya tiga bangunan di MBSP, salah satu telah dipasang sistem solar iaitu Stadium Mini MBSP dekat Jalan Betik.

“Selepas ini, saya akan menjemput mereka (TNB) ke bahagian Pulau juga untuk pelaksanaan inisiatif pintar di bangunan-bangunan milik Majlis (MBPP),” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan barisan Ahli Majlis supaya mencari jalan untuk merealisasikan inisiatif pintar termasuk pemasangan panel solar demi menjimatkan lagi tenaga dan sumber di kedua-dua PBT negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING