184 pengakap kanak-kanak terima Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri

Admin
pengakap feature

BUKIT MERTAJAM – Seramai 184 pengakap kanak-kanak daripada 18 sekolah rendah sekitar Bukit Mertajam menerima Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri pada satu majlis penganugerahan yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Bin di sini pada 10 Ogos lalu.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Daerah Bukit Mertajam, Heng Lee Lee, penerima anugerah tersebut merupakan teladan kepada generasi muda kerana komitmen mereka dalam aktiviti pengakap.

 

“Majlis ini bertujuan mengiktiraf pencapaian ahli pengakap berusia 12 tahun ke bawah yang berjaya menyempurnakan pelbagai lencana kemajuan, selain menunjukkan disiplin tinggi, kebolehan berdikari dan kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif.

 

“Pencapaian ini membuktikan sokongan berterusan daripada sekolah dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah pelajar,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkafli Kamaruddin turut menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah yang sentiasa membimbing ahli pengakap sehingga berjaya dianugerahkan Rambu Pengakap Kanak-Kanak.

 

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Datuk Heng Soo Peng; Ahli Majlis Pengakap Negara merangkap Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang, Ong Ewe Keat; Pesuruhjaya Program Pengakap Negeri Pulau Pinang, Mohd. Fadzli Abu Hassan @ Hashim; Pesuruhjaya Antarabangsa Negeri Pulau Pinang, Ir. Ts. Wong Kok Nian; Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Heng Teiik Chuang; serta Pesuruhjaya Pengakap Daerah Bukit Mertajam, Tan Sow Sung.

 

Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Permatang Tinggi, Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari, SJKC Permatang Tinggi, SK Bukit Minyak, SJKC True Light, SJKC Keow Kuang, SK Jalan Baharu, SK Permatang Pasir, SJKC Kim Sen, SJKT Bukit Mertajam, SK Permai Indah, SK Guar Perahu, SK Tanah Liat, SK Mengkuang, SJKC Peng Bin, SK Permatang To’Kandu, SK Seberang Jaya dan SK Taman Impian.

 

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: MAJLIS PENGAKAP DAERAH BUKIT MERTAJAM