19 pemilik Taman Sejahtera Rakyat terima kunci rumah sebelum Syawal

Admin

SUNGAI BAKAP – Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow menyifatkan projek pembangunan Taman Sejahtera Rakyat, Kampung Kepala Gajah, Seberang Perai Selatan (SPS) merupakan peristiwa penting kepada golongan pembeli melalui skim sewa beli (RTO).

Menurut beliau, lebih manis lagi, seramai 19 penerima menerima kunci projek berkaitan sebelum sambutan Syawal yang bakal menjelang.

“Ini turut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan pembangunan seimbang terutamanya di kawasan Seberang Perai.

“Projek ini pada saya sudah dapat mentransformasikan Kampung Kepala Gajah kepada satu skim perumahan (Taman Sejahtera Rakyat) yang moden dan dilengkapi dengan kemudahan serta infrastruktur.

“Saya percaya ia akan membawa impak besar dalam meningkatkan taraf sosial dan ekonomi penduduk-penduduk di sekitar ini,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci Rumah Projek Perumahan Taman Sejahtera Rakyat, Kampung Kepala Gajah, SPS di sini sebentar tadi

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ketua Pegawai Ekskutif  Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar dan Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa cadangan pembangunan 41 unit rumah teres setingkat perumahan mampu milik Kampung Kepala Gajah itu telah dipersetujui melalui keputusan Pihak Berkuasa Negeri pada 4 Julai 2018.

“Kerajaan Negeri memutuskan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) menjadi pemilik tanah dan PDC bertindak sebagai pengurus projek.

“Tahniah kepada PDC yang berjaya menyelesaikan pelbagai isu sebelum ini sehingga akhirnya menunaikan komitmen menyerahkan kembali kepada CMI dan seterusnya LPNPP membuat tawaran kepada pemohon-pemohon layak,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.


Dalam pada itu, ‘Ainul Fadhilah berkata bahawa 19 penerima kunci hari ini merupakan kumpulan pertama yang telah membayar pendahuluan.

“Selepas ini akan ada lagi kumpulan kedua yang sudah kita beri surat tawaran, cuma tunggu pembayaran wang deposit.

“Sememangnya skim sewa beli (RTO) 15 hingga 20 tahun ini amat membantu terutamanya bagi pembeli rumah kos rendah (jenis A) dan kos sederhana rendah (jenis B) kerana keuntungan yang diperoleh adalah sangat minimum,” ulasnya.

Melalui RTO, pembeli juga tidak perlu menyediakan 10 peratus seperti pinjaman bank, sebaliknya cuma bayaran ansuran dua tambah satu kepada LPNPP.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : LAW SUUN TING