GEORGE TOWN – Sebanyak 20 institusi kesihatan kerajaan di Pulau Pinang dan Kedah menerima bantuan peralatan perubatan serta kemudahan kesihatan bernilai RM1 juta menerusi Program Bantuan Peralatan dan Fasiliti Sistem Kesihatan Kerajaan One Hope Charity 2026.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu memperkukuh sistem kesihatan awam serta memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berkesan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membangunkan ekosistem kesihatan yang lebih inklusif, mampan dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Setiap peralatan yang disumbangkan bukan sekadar aset kepada hospital, tetapi pelaburan yang membantu menyelamatkan nyawa, mempercepat rawatan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Saya berharap lebih banyak pihak akan mencontohi semangat yang ditunjukkan oleh One Hope Charity & Welfare agar usaha memperkukuh sistem kesihatan awam dapat terus digerakkan secara bersama,” ujarnya pada majlis penyampaian berkaitan di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin dan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Nor’Aishah Abu Bakar.
Turut serta, Pengasas dan Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Dato’ Chua Sui Hau; Penasihat One Hope Charity & Welfare, Dato’ Seri R. Arunasalam; Senator, Dr. R.A. Lingeshwaran; barisan Pengarah Hospital Pulau Pinang dan Kedah serta wakil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah (PKPD) dan jawatankuasa One Hope Charity & Welfare.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pengalaman pandemik COVID-19 membuktikan bahawa sistem kesihatan kukuh bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan yang perlu diperkasakan secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntuk RM191.8 juta menerusi Dana Pemerkasaan Kesihatan bagi tempoh 2023 hingga 2030 untuk meningkatkan taraf kemudahan kesihatan awam, termasuk pembangunan semula Hospital Sungai Bakap, pemulihan klinik-klinik desa serta pembangunan Wellness Hub yang lebih moden.
Kelestarian sistem kesihatan yang mampan menuntut pendekatan whole-of-society.
“Sinergi antara kerajaan, sektor korporat, institusi kesihatan dan komuniti amat kritikal bagi memastikan agenda kesihatan rakyat dapat dijayakan bersama,” jelasnya.
Pada majlis sama, Kon Yeow menzahirkan ucapan tahniah kepada One Hope Charity & Welfare yang bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-25 tahun hadapan.

Sementara itu, Sui Hau memaklumkan bahawa pihaknya akan memberi sokongan berterusan kepada hospital dan institusi kesihatan kerajaan sebagai sebahagian usaha sama memperkukuh sistem kesihatan awam negara.
Tambah beliau, program bantuan tersebut bukan dilaksanakan secara sekali sahaja, sebaliknya telah dijadikan sebahagian daripada peruntukan tahunan tetap pertubuhan berkenaan.
“Pendekatan ini diambil kerana kami (One Hope Charity & Welfare) memahami keperluan terhadap peralatan dan fasiliti perubatan bukan keperluan sementara, tetapi berterusan.
“Membantu seorang insan mungkin mampu mengubah sebuah keluarga, tetapi membantu sebuah hospital mampu memberi manfaat kepada ribuan keluarga,” katanya.
Sui Hau memaklumkan bahawa tahun ini, sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi membantu 20 institusi kesihatan kerajaan di Pulau Pinang dan Kedah.
“Bantuan ini melibatkan 10 hospital kerajaan, lima PKD dan lima PKPD yang disalurkan bagi tujuan pembelian serta penambahbaikan peralatan dan kemudahan berdasarkan keperluan yang dikemukakan oleh setiap institusi terlibat,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan pemberita selepas itu, Zi Sen memberitahu bahawa isu kesesakan di klinik kesihatan dan hospital tidak boleh diselesaikan semata-mata melalui pembinaan fasiliti baharu atau penambahan katil.
“Sebenarnya, penyelesaian kepada kesesakan ini bukan dengan membina lebih banyak fasiliti kesihatan atau menambah katil kerana itu bukan cara penyelesaian, tetapi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat adalah matlamat utama (bagi mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan kesihatan),” tegasnya.
Beliau menyatakan bahawa Pulau Pinang kini sedang melaksanakan pelan transformasi kesihatan awam yang menyeluruh melibatkan projek naik taraf kritikal dan pembangunan semula Hospital Sungai Bakap, Hospital Bukit Mertajam serta Hospital Kepala Batas bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut membangunkan Wellness Hub serta menyalurkan pelbagai bantuan langsung menerusi program i-Sejahtera dan inisiatif Persekutuan seperti PeKa B40 bagi memperkasa kesejahteraan rakyat,” ulasnya lanjut.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar & Video : SITI NURATIKAH RAHMAT